Amiridzwan Yakin Rakan-Rakan Mampu Bangkit

Pemain pertahanan pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amiridzwan Taj Tajudin berkata beliau tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk bangkit menewaskan Kelantan pada separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bahru, Jumaat ini.

Walaupun tidak dapat beraksi menentang Kelantan akibat penggantungan dua perlawanan, beliau yakin dengan taktikal yang digunakan oleh pengendali skuad The Gladiators, B. Sathianathan untuk mengulangi pencapaian layak ke final Piala Malaysia sebagaimana yang dilakukan pada musim lepas.

ATM sebelum ini pernah meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di laman sendiri selama dua tahun berturut-turut selepas menundukkan pasukan Pantai Timur itu menerusi kemenangan 3-1 dalam aksi Liga Super, 13 April lepas.

“Insya-Allah, saya yakin dengan rakan sepasukan untuk bangkit semula dan menang di Kelantan sekaligus layak ke final.

“Saya berharap rakan sepasukan fokus dan yang paling penting, kita manfaatkan sebaik mungkin peluang yang terhidang di depan mata,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, semalam.

Kelantan yang merupakan juara bertahan Piala Malaysia mencatatkan kemenangan tipis 2-1 ke atas ATM pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Jumaat lepas.

Menyentuh mengenai skuad Harimau Malaya, Amiridzwan berkata beliau berusaha untuk merebut kesebelasan utama dalam skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu walaupun sedar pertahanan pasukan Harimau Muda A, Mohamad Fadhli Mohd Shas telah kembali pulih.

“Mohamad Fadhli memang menjadi pilihan utama (Rajagobal) untuk bergandingan bersama Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak di bahagian pertahanan tetapi saya hanya jalankan tugas saya dan cuba beri yang terbaik. Insya-ALLAH, kalau diberikan sekali lagi selaku kesebelasan utama, saya akan cuba beri yang terbaik,” kata Amiridzwan.

Skuad Harimau Malaya bakal menentang Kuwait pada perlawanan persahabatan antarabangsa bertaraf ‘A’, 8 November ini di negara berkenaan sebelum berdepan Bahrain pada perlawanan keempat, kumpulan D, kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional Bahrain di Manama, seminggu kemudian.

Malaysia bakal meneruskan aksi kelayakan menentang Qatar di Stadium Shah Alam pada 19 November ini.

Last Updated on Oktober 22, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *