FAM Rangka Perlawanan Global Baiki Kedudukan Harimau Malaya

By
Updated: March 23, 2012

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang merangka beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa bertaraf ‘A’ dalam usaha membaiki ranking skuad bola sepak kebangsaan yang kembali merosot. Naib Presiden FAM Datuk Seri Subahan Kamal berkata antara perlawanan itu ialah menentang Thailand pada 28 April dan India atau Australia pada 29 Mei ini di padang sendiri dan tempat lawan.

Selain itu, katanya badan induk bola sepak itu turut merancang untuk mengadakan perlawanan serupa menentang New Zealand pada 7 dan 11 Sept, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 12 Okt dan Qatar tiga hari kemudian.

“Kami dikhabarkan bahawa Thailand dan Australia mungkin tidak dapat bermain menentang pasukan Harimau Malaya disebabkan kesibukan mereka mengendalikan liga domestik masing-masing.

“Bagi negara-negara lain, kami masih menunggu pengesahan daripada persatuan bola sepak negara masing-masing,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bagi memperjelaskan prestasi semasa skuad Harimau Malaya.

Subahan berkata Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) telah mengesahkan kesediaan bertemu pasukan negara dalam aksi persahabatan di tempat lawan pada 8 Jun sebelum aksi timbal balik di sini empat hari kemudian.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini dikecam hebat beberapa pihak termasuk Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa yang meragui kemampuan skuad itu untuk mempertahankan Piala AFF Suzuki, yang dimenangi pada 2010 di Indonesia.

Kecaman itu dikatakan berpunca daripada prestasi hambar skuad Harimau Malaya dalam beberapa perlawanan persahabatan termasuk tewas 0-1 kepada Selangor selain diikat 1-1 oleh Filipina baru-baru ini.

Ditanya jika kesemua negara itu enggan mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad Harimau Malaya, Subahan berkata FAM tidak mempunyai pilihan selain mengaturkan perlawanan menentang pasukan negeri atau kelab.