Kamarul Ghairah Julang Piala

Buat Kamarul Afiq Kamaruddin, kembali beraksi di tempat kelahirannya sudah cukup untuk memberi semangat kepadanya untuk beraksi penuh semangat pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. Afiq yang beraksi bersama Sime Darby tahun lalu, mahu mencipta sejarah menjulang Piala FA selaku kapten bersama Johor Darul Takzim (DT).

“Matlamat utama saya sebagai kapten negeri, saya mahu menjulang Piala FA. Semangat saya begitu tinggi kerana bermain dengan diberi kepercayaan mengemudi kesebelasan utama. Mana-mana kapten pasti menjadi inspirasi kepada pemain dan mencipta sejarah mereka sendiri bersama pasukan disayangi. Pengalaman bermain di bawah kendalian jurulatih Fandi Ahmad musim ini menjadi satu perangsang terbaik malah sokongan tidak berbelah bagi peminat setiap kali kami beraksi benar-benar menyemarakkan semangat juang berpasukan,” katanya.

Biarpun tidak dapat bergandingan di bahagian pertahanan bersama Aidil Zafuan yang digantung akibat menerima kad merah serta-merta di Singapura dan rayuan ditolak Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Afiq berkata, dia sedia mengekang asakan jentera serangan Kelantan diketuai kapten tengah berpengaruh, Badhri Radzi.

“Jurulatih (Fandi) ada memberitahu perlawanan akhir peluang terbaik mempamer prestasi terbaik selepas melepasi pelbagai ranjau empat terakhir. Saya berjanji akan memberikan prestasi 100 peratus. Meskipun Kelantan diletakkan pasukan pilihan, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk membalas kepercayaan semua pihak,” katanya.

JDT dijangka hanya menyenaraikan kesebelasan utama pada sesi latihan terakhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Siapa saja pemain bergandingan di benteng terakhir tidak menjadi masalah kerana kami mahu menikmati perlawanan sebaik mungkin dan menghiburkan penyokong yang datang dari jauh ke sini (Bukit Jalil),” katanya.

Last Updated on Julai 2, 2013 by


Posted

in

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *