Khairy Minta FAM Jaga Kebajikan Pemain Skuad B-16

khairyjamaluddin

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar terus menjaga kebajikan pemain skuad negara bawah 16 (B-16) memandangkan mereka merupakan aset penting untuk negara pada masa depan. Beliau berkata bahawa kejayaan skuad kendalian S. Balachandran itu yang mencipta sejarah mara suku akhir Kejohanan AFC B-16 di Thailand pada hari Rabu menunjukkan mutu sukan bola sepak negara semakin positif, walaupun Malaysia bukanlah kuasa utama dalam bola sepak.

“Saya berharap skuad B-16 negara mampu mengekalkan prestasi mereka dan FAM perlu membantu pasukan tersebut dengan memberi pendedahan yang sewajarnya kepada pemain muda kita yang dilihat cukup berpotensi untuk masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke temasya Sukan Asia ke-17 di Incheon, Korea Selatan bermula 19 Sept ini, di sini, hari ini. Pada masa sama, Khairy turut mengingatkan semua pemain bola sepak tempatan, tidak mengira sama ada junior mahupun senior supaya kekal fokus sepanjang masa dan tidak dilanda dengan sindrom “cepat sejuk”.

Skuad B-16 negara menempah slot ke suku akhir selepas mengalahkan Oman 2-1 pada aksi terakhir kumpulan A di Stadium Rajamangala di Bangkok pada hari Rabu. Sebagai rekod, Malaysia layak ke kejohanan itu sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada edisi 2004 di Jepun dan 2008 di Uzbekistan namun gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

Last Updated on September 12, 2014 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *