Liga-S: Harimau Muda “cakar” Young Lions

Harimau Muda kembali menemui sentuhan kemenangan apabila bangkit dengan tiga gol pada aksi babak kedua biarpun dikejutkan jaringan awal Young Lions untuk menang 3-1 dalam saingan Liga Singapura (Liga-S) di Stadium Yishun, malam tadi. Beraksi di padang basah, Young Lions mencemaskan pintu gol Harimau Muda menerusi tandukan Jonathan Toto seawal minit ke-10 dan tandukan hasil sepakan sudut kapten, Hafiz Sujad selang tiga minit.

Sedar benteng Harimau Muda goyah, kesempatan itu digunakan anak didik Robin Chitrakar selepas Toto
menyusup masuk dengan menggelecek dua pertahanan pada minit ke-16 sebelum menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Peluang Harimau Muda menyamakan jaringan tidak kesampaian pada minit ke-18 selepas hantaran D Saarvindran tepat kepada Wan Zack Haikal Wan Nor tetapi rembatannya sipi ketika penjaga gol, Syazwan Buhari sudah tertewas.

Kecederaan Wan Zack Haikal dan aksi kurang berkesan Saarvindran memaksa jurulatih Ong Kim Swee memasukkan Syahrul Azwari Ibrahim dan Nazmi Faiz Mansor bagi menguat posisi sayap kanan dan kiri Harimau Muda yang bangkit menyamakan kedudukan di awal babak kedua menerusi Nazmi pada minit ke-49.

Harimau Muda mendahului saingan pada minit ke-74 apabila bola sepakan percuma Fandi Othman ditanduk Fadhli Shas tetapi melantun dari palang gol dan Fandi menyambar untuk menewaskan Syazwan.

Nazmi menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-81 apabila rembatan deras dari luar kotak penalti menewaskan Syazwan dan memastikan tiga mata buat Harimau Muda.

Last Updated on Jun 28, 2013 by


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *