LionsXII Yakin Dapat Merangkul Trofi

LionsXII Liga Super

Ketua jurulatih LionsXII, V. Sundramoorthy, yakin bahawa pasukannya akan menewaskan Felda United di Stadium Jalan Besar. LionsXII kini mendahului Liga Super Malaysia 2013 dengan empat mata di hadapan Johor Darul Takzim dan Selangor dan dapat menjaminkan kejuaraan jika dapat mengalahkan Felda United nanti.

“Pasukan saya sudah bersedia dari segi mental dan fizikal.” kata Sundramoorthy. “Apa yang penting adalah kami tidak terjejas dengan suasana dan memberi tumpuan kepada tugas, kami akan membuat yang terbaik untuk cuba merangkul kejuaraan. Saya ingin memenanginya tetapi dalam bola sepak, apa jua dapat berlaku.”

“Saya ingin pasukan saya menikmati detik ini terutama jika mereka dapat mencipta sejarah. Saya rasa kejuaraan ini amat bermakna kerana kali terakhir kami memenanginya adalah 19 tahun lalu. Perlawanan dengan Felda adalah cabaran yang besar.” tambah jurulatih pasukan Singa itu lagi.

“Pasukan yang sedang berjuang untuk mengelakkan penyingkiran akan meletakkan kesebelasan utama dengan taktik yang terbaik. Ia agak sukar untuk kami cuba menangani ancaman mereka dan gerakan serangan mereka juga agak merbahaya.”

Pasukan LionsXII akan bermain tanpa dua pemain penting yang telah mempengaruhi musim mereka, iaitu Baihakki Khaizan dan Isa Halim, akibat penggantungan.

Sementara itu jurulatih Selangor Irfan Bakti berpendapat bahawa pasukannya masih mempunyai harapan.

“Saya seorang yang percaya kepada keajaiban. Orang nampak Lions XII sangat kuat dan mustahil untuk dikalahkan, tetapi saya rasa tidak mustahil Felda boleh buat kejutan kerana mereka sangat terdesak sekarang dan mahu mengelak daripada tersingkir dari Liga Super musim depan. Lagipun, Lions XII pasti lebih tertekan kerana mereka begitu menginginkan kemenangan.” katanya kepada media.

“Bagi Selangor, saya tidak mahu pemain turun ke padang dengan terlalu memikirkan apa yang akan terjadi dalam satu lagi pertarungan di Jalan Besar, sebaliknya saya mahu mereka turun dengan memikirkan kita ada dua lagi misi penting untuk diharungi, menentang T-Team dan kemudian Johor DT. Kita harus menang kedua-dua perlawanan kerana kalau tidak muncul juara sekalipun, sekurang-kurangnya kita kena duduk nombor dua.”

Last Updated on Julai 2, 2013 by


Posted

in

,

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *