Malaysia Akan Ke Piala Dunia Suatu Hari Nanti

Trofi Piala Dunia

Jika diingati, pada 1999, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pernah meletakkan sasaran untuk pasukan Harimau Malaya beraksi di Piala Dunia 2014, iaitu kejohanan yang sedang berlangsung di Brazil, tetapi pencapaian pasukan negara masih jauh berbanding jaguh-jaguh Asia lain seperti Jepun, Korea Selatan, Iran dan Australia yang mewakili benua ini pada temasya kali ini. Apa yang menariknya, dua negara miskin di Amerika Tengah iaitu Costa Rica yang hanya mempunyai populasi penduduk 4.8 juta dan Honduras (7.9 juta) berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2014. Jika dibandingkan dengan dua negara ini, Malaysia yang mempunyai populasi penduduk sekitar 30 juta dan kemudahan sukan bertaraf dunia sepatutnya sudah mampu membentuk pasukan kebangsaan hebat yang boleh bersaing untuk merebut tiket ke Piala Dunia. Malangnya kita masih terkial-kial serta menjadi pasukan belasahan yang berada di ranking ke-153 dunia.

Pada tahun lalu, FAM bersama dengan beberapa buah negara ASEAN lain bercadang menempah slot automatik ke kejohanan tersebut untuk membuat bidaan bersama penganjuran Piala Dunia 2034. Namun, persoalannya adakah Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akan bersetuju memandangkan pencapaian pasukan di rantau ini masih belum bertaraf dunia. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID mewawancarai Menteri Belia dan Sukan, KHAIRY JAMALUDDIN bagi menjawab pelbagai persoalan berhubung bilakah impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan pasukan kebangsaan beraksi di pentas Piala Dunia akan tercapai.

MINGGUAN: Sehingga sekarang rata-rata rakyat Malaysia begitu kecewa dengan prestasi pasukan bola sepak negara. Sekurang-kurangnya perancangan perlu bagi memantapkan pasukan kebangsaan. Persoalannya sampai bila rakyat Malaysia nak mengharap impian pasukan kebangsaan dapat beraksi di Piala Dunia?

KHAIRY: Kementerian Belia Sukan (KBS) telah mempunyai perancangan untuk memajukan lagi sukan bola sepak dengan pelancaran Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang disempurnakan Perdana Menteri di Gambang, Pahang April lalu. Lebih bermakna, Perdana Menteri semasa pelancaran itu telah mengumumkan bahawa PPBN diangkat sebagai projek nasional yang didokong kerajaan serta tidak terhad kepada KBS, Kementerian Pendidikan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta para pemegang amanah yang lain. Melalui pelan ini, kita bakal mempunyai lebih 50,000 pemain yang mempunyai asas dan gaya permainan atau DNA bola sepak yang mantap berusia 7 sehingga 17 tahun menjelang 2020. Kesemua mereka ini akan disaring lagi oleh FAM selepas menamatkan masa dalam PPBN, sama ada akan diserap ke kem kebangsaan atau sebaliknya. Dalam PPBN, KBS serta Kementerian Pendidikan dan pemegang taruh yang lain bertindak menyediakan seramai mungkin pemain remaja yang berkemampuan sebelum diserahkan kepada FAM selaku badan induk sukan tersebut di negara ini. Inilah perancangan yang sedang kita usahakan dalam PPBN. Setelah semua ini terlaksana, kita sama-sama tengok hasilnya dan insya-Allah akan berlaku perubahan dalam arena bola sepak negara. Sudah tentu saya dan seluruh rakyat Malaysia mahu menyaksikan pasukan kita beraksi di Piala Dunia satu hari nanti.

MINGGUAN: Apa sebenarnya silap kita kerana jika diukur daripada pelbagai sudut, negara ini telah mempunyai segala kemudahan, fasiliti dan keupayaan untuk melahirkan pasukan dan bintang disegani apatah lagi untuk layak ke Piala Dunia. Berbanding dengan negara Costa Rica misalnya yang hanya mempunyai 4 juta penduduk dan kemudahan yang menyedihkan, apa alasan kita masih belum berkemampuan untuk layak ke Piala Dunia?

KHAIRY: Dari segi kemudahan, saya fikir banyak lagi yang boleh dilakukan terutama dalam penyediaan lebih banyak padang latihan dan perlawanan untuk dijadikan pusat latihan kelab-kelab tempatan serta untuk dimasukkan dalam PPBN sebagai Pusat Latihan Daerah (PLD) di seluruh negara. Kita juga perlu melihat kepada opsyen untuk membina lebih banyak padang sintetik bagi kegunaan latihan sepanjang tahun memandangkan cuaca yang mencabar bagi penjagaan rumput di negara kita. Selain itu, kita juga mungkin ketinggalan dari segi perancangan pembangunan bola sepak yang berkesan selama ini. Diharapkan agar PPBN ini akan menjadi pemangkin kepada kegusaran dan kekurangan kita dalam bola sepak kebangsaan. Tentang Costa Rica, kita boleh simpulkan bahawa mereka mempunyai sejarah bola sepak yang lebih panjang daripada kita dan pernah empat kali layak ke pusingan akhir Piala Dunia termasuk kali ini. Costa Rica juga mempunyai gaya permainan tersendiri atau yang boleh kita panggil sebagai DNA bola sepak. Kita juga harus akur dan ingat bahawa Costa Rica bukan calang-calang pasukan apabila mereka merupakan pasukan ketiga terbaik di CONCACAF selepas Mexico dan Amerika Syarikat. Mungkin budaya bola sepak lebih besar dan hebat di sana berbanding Malaysia.

MINGGUAN: Setakat ini apa perancangan pihak KBS bagi memastikan impian rakyat Malaysia ini tercapai?

KHAIRY: Ia melalui perancangan jangka panjang PPBN yang sudah pun bermula. Kita akan memantau perkembangan pelan itu dari semasa ke semasa dan melakukan penambahbaikan di mana dirasakan perlu. Selain itu, KBS akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan dan FAM dalam memastikan ia bakal membuahkan hasil yang diharapkan.Kepada rakyat Malaysia pula, kita perlu bersabar dan memahami realiti kedudukan pasukan kebangsaan dalam ranking antarabangsa. Di samping itu, berilah sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan negara setiap kali mereka tampil di pentas antarabangsa. Kita di KBS turut mempunyai impian yang sama dan semoga kita sama-sama mencapainya pada masa akan datang.

MINGGUAN: Kalau dilihat prestasi pasukan dari Asia sememangnya masih jauh ketinggalan dengan pasukan-pasukan lain. Malangnya prestasi pasukan kebangsaan sendiri masih jauh daripada menandingi pasukan-pasukan Asia yang bertanding dalam Piala Dunia kali ini. Apa yang perlu dilakukan?

KHAIRY: Seperti yang saya katakan, pembangunan akar umbi harus diutamakan dan bukannya solusi yang bersifat quick fix. Selain daripada struktur pembangunan itu sendiri sangat penting, pengisian ataupun intipati program pembangunan juga harus diambil kira. Kita harus tentukan apakah jenis pemain yang mahu dilahirkan. Pada hemat saya, kegagalan pasukan kebangsaan untuk bersaing di peringkat antarabangsa adalah kerana kegagalan pasukan kita untuk bermain mengikut kelebihan yang ada pada diri kita.Jika dilihat kepada saiz bentuk badan pemain Asia, jarang sekali dapat kita lihat pemain tempatan yang mempunyai fizikal tegap dan ideal. Oleh itu, haruskah kita kekalkan cara permainan yang bersifat hantaran jauh? Ataupun kita jadikan kekurangan kita sebagai satu kelebihan? Ambil contoh pasukan Sepanyol dan Argentina, kuasai skil teknikal individu dan disertai taktikal yang mantap. Bola sepak bukanlah satu rocket science.Berbalik kepada persoalan yang saya lontarkan sebentar tadi, apakah kini skuad kebangsaan bermain sejajar dengan kelebihan yang ada pada diri kita? Dari situ timbulnya keperluan kita untuk mempunyai satu DNA bola sepak negara, yang juga sekarang ini sedang diterapkan di peringkat akar umbi.Selain itu, kita harus learn from the best dari sudut pendedahan antarabangsa. Baru-baru ini, Skuad Projek 2019 telah dibawa ke Jerman, untuk menjalani siri perlawanan persahabatan menentang pasukan-pasukan seperti Bayern Munich B13, Red Bull Salzburg B13 dan beberapa pasukan yang lain. Pendedahan demi pendedahan juga sedang direncana untuk peringkat umur yang lain.

Melalui PPBN, para pemain bakal mendapat manfaat daripada tajaan Kementerian Pelancongan ke atas pasukan juara Liga Eropah, Sevilla, bagaimanapun perkara ini masih di peringkat perbincangan.Program pembangunan kejurulatihan sehingga ke peringkat akar umbi juga penting dalam PPBN seperti diterapkan oleh Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim. Selain itu, jurulatih di bawah PPBN yang menyerlah serta cemerlang pula akan dipilih untuk menjalani kursus kejurulatihan dengan kelab England iaitu QPR selama beberapa bulan, penting untuk mereka mempelajari teknik-teknik baharu serta sentiasa berubah, selain sebagai rangsangan untuk mereka melakukan yang terbaik.

MINGGUAN: Bagaimana pula kerjasama dengan pihak FAM serta persatuan bola sepak negeri dalam memastikan impian ini menjadi realiti?

KHAIRY: Pada masa ini hubungan KBS dengan pihak FAM adalah baik khususnya melalui Jabatan Belia FAM yang mempunyai akses secara terus kepada persatuan-persatuan negeri. Tetapi apabila bercakap tentang pembangunan, ia tidak tertakluk kepada usaha satu atau dua entiti sahaja. Harus diingat, Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Bahagian Sukan Sekolah-sekolah juga memainkan peranan yang besar dalam hal ini dari segi penyediaan fasiliti dan sebagainya. Setiap pemegang taruh mempunyai peranan masing-masing dalam menjayakan impian ini, serta memerlukan di antara satu sama lain dan tanpa kerjasama yang berterusan impian hanya akan kekal sebagai satu impian.Rasa-rasa YB, mampukah untuk pasukan kita beraksi di Piala Dunia pada 2022 dan jika YB rasakan layak apa sebabnya?KHAIRY: Secara realistiknya dan mengambil kira situasi semasa, tidak. Sistem pembangunan bola sepak negara kita perlukan perubahan secara menyeluruh, dan perubahan itu kini sedang dilakukan. Sebagai contoh, perkara ini kita nilai berdasarkan pada jumlah terkini pertandingan dan pendedahan yang ada dalam sistem pembangunan bola sepak negara iaitu 16 kejohanan untuk pelbagai peringkat umur. Apakah setiap satu kejohanan ini menjanjikan 30 perlawanan kompetitif kepada setiap pasukan? Apakah ia meliputi setiap peringkat umur?

MINGGUAN: Bagaimana pula dengan mentaliti? Adakah mentaliti pemain muda tempatan kini berada pada tahap yang terbaik?

KHAIRY: Semua ini harus diambil kira dan perkara ini sedang kita perhebat daripada semasa ke semasa melalui PPBN. Kita mahu lahirkan a winning generation dan bersifat jangka panjang dan bukan hanya lahirkan sepasukan pemain yang bila-bila sahaja boleh tercedera dan tidak ada pengganti.

MINGGUAN: Memandangkan standard pasukan kebangsaan kita masih jauh ketinggalan dan rakyat Malaysia sendiri sudah penat menjadi penyokong negara lain, mungkin ada perancangan untuk Malaysia sendiri menjadi tuan rumah Piala Dunia?

KHAIRY: Apabila kita anjurkan dan bersaing dalam sesuatu kejohanan, kita ingin jadikan status tuan rumah sebagai satu kelebihan. Tetapi apa gunanya sekiranya kita anjurkan tetapi masih menjadi skuad belasahan, sekaligus memalukan negara. Kita harus realistik.

MINGGUAN: Tetapi sekiranya diambil dari sudut penganjuran sahaja, kemungkinan itu ada. Kerana Malaysia sendiri mempunyai beberapa stadium dan fasiliti yang bertaraf antarabangsa. Kita juga dikenali sebagai sebuah negara hos yang baik, dengan kejayaan beberapa penganjuran pertandingan seperti Sukan Komanwel 1998. Apakah tidak mustahil bagi kita bekerjasama dengan negara ASEAN bagi melobi menjadi tuan rumah Piala Dunia seperti dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan pada tahun 2002?

KHAIRY: Ya, perkara ini bukanlah satu perkara yang mustahil. Namun mekanismenya harus diperhalusi terlebih dahulu di peringkat menteri dan negara yang terlibat. Penganjuran Piala Dunia 2034 secara bersama oleh ASEAN kini masih dalam kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) dan keputusannya dijangka diumumkan tahun ini. Seharusnya juga kita belajar daripada kesilapan penganjuran Piala Asia 2007 oleh 4 buah negara (termasuk Malaysia) dari segi kos penganjuran, promosi yang tidak menyeluruh dan tidak menarik perhatian umum, permasalahan logistik setempat dan beberapa perkara berkaitan seperti yang telah diutarakan oleh pihak AFC sendiri. Kita tidak mahu masalah penganjuran seperti ini berulang sekali lagi

Last Updated on Jun 30, 2014 by


Posted

in

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *