Malaysia Kehausan Kemenangan

Malaysia Kehausan Kemenangan

Skuad Harimau Malaya kini kehausan kemenangan dan aksi persahabatan menentang Chelsea FC di Stadium Shah Alam pada Ahad ini perlu menjadi medan buat pasukan bola sepak kebangsaan mencatat kemenangan.

Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Subahan Kamal berkata sudah agak lama pasukan kendalian Datuk K. Rajagobal itu tidak menyerlah dan ini adalah masa paling sesuai untuk mereka bangkit mencari kemenangan yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.

“Harimau Malaya pernah mengalahkan pasukan Liga Perdana, Arsenal FC dengan kemenangan 2-0 pada 1975 dan saya harap kita mampu mengulangi kejayaan sama pada aksi menentang Chelsea FC nanti. Ini tidak mustahil untuk berlaku,” katanya.

Subahan berkata kemenangan ke atas pasukan Chelsea FC penting buat pasukan negara untuk meningkatkan keyakinan menghadapi cabaran aksi persahabatan menentang Barcelona FC pada 10 Ogos.

“Kedua-dua perlawanan persahabatan bersama pasukan Chelsea dan Barcelona adalah penting kerana ia akan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan sebelum bertemu Bahrain pada saingan kelayakan Piala Asia 2015, Oktober ini,” katanya lagi.

Subahan berkata walaupun skuad Harimau Malaya gagal mencipta kemenangan pada aksi persahabatan menentang kelab dari Thailand, Chonburi FC di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 16 Julai lepas, ini tidak bermakna mereka gagal.

“Keputusan seri tanpa jaringan membuktikan Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan Chonburi FC yang dibarisi enam pemain import dari Brazil dan selebihnya pemain kebangsaan Thailand,” katanya.

Last Updated on Julai 19, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *