Misi Pasukan Sempurnakan Hajat

Skuad Harimau Malaya bersedia untuk menyempurnakan hajat yang “tertangguh” bulan lalu dengan merekod kemenangan ke atas Filipina pada aksi persahabatan antarabangsa di Pusat Sukan Kota Cebu malam ini.

malaysia-vs-phillipines-2014

Selepas sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 1hb Mac lalu yang terjejas akibat kekecohan Ultras Malaya, ini peluang terbaik untuk anak buah Datuk Ong Kim Swee menebus kekecewaan itu sekali gus mengutip mata bagi memperbaiki ranking negara di tangga 142 dunia.
Namun ia bukan tugas mudah buat skuad kebangsaan memandangkan Filipina yang mula mempamerkan peningkatan sejak mara ke separuh akhir Piala AFF 2010 kini hampir separuh berwajah baru di bawah kendalian jurulatih yang baru dua bulan dilantik Thomas Dooley.

Bagi Kim Swee, dengan tempoh latihan yang singkat, anak buahnya dapat mengekalkan rekod bersih dua perlawanan tahun ini serta mencatat kemenangan kedua di luar negara selepas menundukkan Yaman 2-1 pada aksi Piala Asia 2015 pada 5hb Mac lalu.

“Kami beraksi dengan baik menentang Yaman dan ini perlawanan kedua di gelanggang lawan skuad kebangsaan jadi saya harap pemain-pemain dapat meneruskan rentak positif di sini.

“Tapi kami sedar pasukan Filipina semakin bagus, mereka membuat persiapan rapi untuk bertanding dalam Piala Cabaran AFC manakala ini persediaan untuk pasukan negara ke Piala AFF hujung tahun ini,” katanya pada sidang media di Cebu, semalam.

Bagi aksi malam ini, Kim Swee dijangka akan membuat perubahan taktikal termasuk memantapkan bahagian tengah dengan kehadiran Azamuddin Mohd Akil dan Junior Eldstal yang tidak beraksi pada pertemuan sebelum ini serta kemungkinan memberi peluang kepada Mohd Nor Farhan Muhammad menerajui serangan.

Sementara itu bagi Dooley bekas penolong jurulatih Amerika Syarikat, beliau mengharapkan Cebu bakal memberi tuah bagi perlawanan pertama di gelanggang sendiri sejak dilantik dua bulan lalu.

“Saya memiliki pasukan lebih baik berbanding perlawanan pertama dengan Malaysia sebelum ini. Saya tahu Malaysia pasukan yang bagus tapi sudah pasti saya mengharapkan kemenangan kali ini,” katanya.

Dooley merombak hampir separuh pasukannya berbanding aksi di Selayang bulan lalu termasuk dengan memanggil dua pemain tengah yang mewakili kelab Denmark Esbjerg fB, Jerry Lucena dan Martin Steuble, FC Wil 1990, Switzerland.

Last Updated on April 27, 2014 by


Posted

in

,

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *