Kelayakan Piala Asia B-22: Myanmar Tewaskan Malaysia, Bantahan Kepada AFC Kerana Pemain Lebih Umur

Pihak pengurusan skuad B-22 Malaysia dilaporkan sudah membuat aduan rasmi kepada Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) mengenai dakwaan pasukan tuan rumah, Myanmar menggunakan pemain lebih umur dalam perlawanan terakhir kelayakan kumpulan G malam tadi. Myanmar didakwa telah mendaftarkan pemain lebih umur ketika menentang Harimau Muda yang bersaing merebut slot automatik Piala AFC B22. Dipercayai terdapat tiga pemain Myanmar semalam berumur lebih dari 22 tahun dan jika ia terbukti benar, Malaysia mungkin berpeluang mengisi slot automatik Myanmar itu.

“Kami ada dengar tentang perkara itu dan saya rasa ini perkara serius yang harus dilihat. Saya harap malam ini (semalam) kami tewas dengan pemain remaja dan bukannya pemain dewasa.

“Pada saya beberapa pemain Myanmar kelihatan matang cara permainannya.” tambah Ong Kim Swee.

Selepas tamat perlawanan, pengurus pasukan Harimau Muda, Dato’ Afandi Hamzah turut mengesahkan bahawa pihak mereka telah menghantar surat protes terhadap pasukan Myanmar yang menurunkan pemain lebih umur kepada Komisioner Perlawanan AFC semalam.

Mengikut peraturan AFC, bantahan hanya boleh dibuat dalam masa dua jam selepas tamat perlawanan.

“Kami telah menghantar surat protes kepada Komisioner Perlawanan malam ini (semalam) berkenaan dengan Myanmar yang dilaporkan telah mendaftarkan dan menurunkan pemain-pemain lebih umur dalam Kelayakan Piala AFC B22 ini.

“Selepas ini, pihak FAM akan menghantar surat susulan beserta dengan surat protes ini kepada AFC apabila kami pulang ke Malaysia.” kata Dato’ Afandi.

Dalam aksi menentang Myanmar, hasrat Malaysia untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Kejohanan Piala Asia Bawah 22 Tahun (B-22) tahun depan lebur selepas tumpas 1-2 di tangan pasukan tuan rumah itu.

Kekalahan itu meletakkan skuad kendalian jurulatih Ong Kim Swee menamatkan saingan di tangga ketiga dengan sembilan mata manakala Myanmar dengan 13 mata di tangga kedua, bersama juara kumpulan, Korea Selatan.

Harapan untuk mara menerusi ‘jalan kedua’ di mana mengharapkan mereka berjaya merebut slot pasukan ketiga terbaik kejohanan juga musnah selepas Oman menewaskan India 4-0 untuk memungut 10 mata dalam kumpulan (A).

Dalam aksi hujan lebat di Stadium Thuwanna, skuad negara tampak bergelut di awal permainan untuk mengatur gerakan manakala Myanmar yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Park Seong Hwa pula lebih mengancam. Biarpun Malaysia membuat percubaan pada minit ke-4 menerusi sepakan percuma Wan Zack Haikal Wan Noor, pasukan tuan rumah selepas itu lebih banyak mengatur serangan bermula dengan percubaan Nanda Lin Kyaw Chit dan Kaung Si Thu yang berjaya diselamatkan Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Biarpun hanya memerlukan seri untuk mengiringi juara Kumpulan G, Korea Selatan ke pusingan akhir Piala Asia tahun depan, Myanmar tetap inginkan kemenangan dan ia dibuktikan menerusi gol pertama jaringan penyerang, Kaung Si Thu.

Malaysia beraksi lebih positif pada awal babak kedua namun masih buntu mencari gol penyamaan apabila percubaan penjaring terbanyak kejohanan, Rozaimi Abd Rahman dari sebelah kiri berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kyaw Zin Phyo. Ketika skuad negara sibuk mengasak, kelalaian barisan pertahanan yang beraksi goyah akibat ketiadaan bek tengah, Shahrul Saad sekali lagi dihukum menerusi serangan balas pantas Si Thu yang menyepak masuk gol kedua biarpun sepakan pertamanya berjaya ditepis Izham pada minit ke-53.

Biarpun Rozaimi berjaya menghasilkan gol ke-10 peribadinya untuk merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti, namun ia sudah terlambat buat skuad negara untuk menyekat kemenangan Myanmar.

Last Updated on Jun 28, 2013 by


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *