OKS Memanggil Semula Safee Sali Untuk Kempen Piala AFF 2016

By
Updated: October 22, 2016

oks_training

Menjelang persiapan akhir skuad bola sepak kebangsaan berdepan cabaran Piala Suzuki AFF, ketua jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee akan memperkemaskan jentera serangan melalui penyerang berpengalaman.

Kim Swee hanya memilih penyerang skuad Harimau Selatan Safee Sali bagi memperkuat barisan serangan dan tiada perubahan daripada senarai pemain dipanggil sebelum ini.

“Hanya penambahan seorang pemain di mana Safee disenaraikan untuk memperkuatkan barisan serangan kita terutama pengalaman dan reputasi dimilikinya, bukan saja dalam padang tetapi mampu membimbing pemain-pemain muda lain seperti Ahmad Hazwan Bakri di bahagian serangan.

“Biarpun kita tahu Safee jarang beraksi bersama pasukannya (JDT), kita mempunyai tempoh dua minggu latihan pusat yang mana jadual latihan padat ini sudah tentu memberi ruang untuk saya memperbaiki segala kelemahan yang ada bukan saja pada Safee tetapi pemain-pemain lain,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Kem latihan fasa akhir skuad Harimau Malaya akan bermula Selasa ini sebelum berlepas ke Myanmar.

Kim Swee berkata, dia memilih untuk mengekalkan pemain sedia ada dalam senarai 30 pemain sebelum ini kerana kesuntukan masa untuk mengenal pasti pemain lain, di samping menggugurkan lima pemain daripada senarai tersebut.

Katanya, senarai panggilan kali ini adalah senarai terakhir sebelum tiga pemain akan digugurkan sebelum ke Myanmar pada 16 November.

“Daripada apa yang kita nilaikan dan banyak aspek saya lihat, senarai 26 pemain ini adalah yang terbaik di mana lima pemain yang telah digugurkan itu berada dalam senarai bersedia jika terdapat pemain yang cedera.

“Memang sukar untuk saya membuat pemilihan bagi senarai 26 pemain ini tetapi saya terpaksa melakukannya untuk mendapatkan yang terbaik di posisi-posisi tertentu.

“Latihan akan diadakan seperti biasa bermula 25 Oktober ini dan banyak yang saya boleh lakukan bersama 18 pemain yang melapor diri awal ini berbanding tempoh hari apabila saya hanya ada sepuluh pemain yang melapor diri awal,” katanya.

Skuad negara diundi dalam Kumpulan B dan bakal berdepan pasukan juara pusingan kelayakan pada 20 November, Vietnam pada 23 November dan Myanmar pada 26 November di Stadium Thuwunna YTC.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya juga bakal menjalani latihan kem bina semangat di Port Dickson selama tiga hari bermula 2 November ini.

“Pastinya kem bina semangat itu cukup penting di mana ia akan dapat membentuk semangat berpasukan tinggi di kalangan pemain. Tiada satu pun latihan di padang sepanjang tiga hari berkenaan dan latihan akan disambung semula pada 5 November.

“Bagi saya, satu perlawanan persahabatan mencukupi memandangkan tempoh masa yang terhad ini. Saya ingin menumpukan kepada sesi latihan dan satu perlawanan ini penting untuk saya membentuk corak permainan sebelum kita memulakan kempen Piala Suzuki AFF 2016.,” jelas jurulatih kelahiran Melaka itu.

Selain itu, lima pemain yang telah digugurkan untuk kem latihan pusat terakhir ini terdiri daripada dua pemain PDRM, Abdul Latiff Suhaimi dan Fakrul Aiman Sidid serta Adam Nor Azlin (Selangor), Fazrul Hazli Kadri (Perak) dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham (JDT).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *