Pahang Kecewakan Ngap Sayot

Pahang menewaskan Sarawak 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur Sabtu malam. Pahang, yang dilihat lebih menguasai perlawanan dengan beberapa percaturan berbahaya, mula memecah kebuntuan menerusi tandukan Azammuddin Akil hasil gerakan R.Gopinathan pada minit ke-28.

Keghairahan kira-kira 33,000 penyokong tuan rumah menikmati gol pertama, gawang Bujang Senang sekali lagi digegar dengan jaringan kedua tiga minit kemudian, juga menerusi tandukan Azammuddin hasil hantaran Jalalludin Jaafar.

Asakan berterusan pemain Pahang berjaya melebar penguasaan tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-37 apabila gawang Sarawak, yang ditinggal penjaganya, Sani Anuar Kamsani, memudahkan pemain import Matias Ruben Conti melambung bola terus ke dalam gol.

Rentak permainan Sarawak yang seakan tergelincir bagaimanapun kembali ke landasan apabila berjaya mencipta gol sagu hati pada minit ke-39 hasil rembatan Ketua Pasukan Mohd Shahrol Saperi dari luar kotak penalti.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menggandakan asakan ke kubu lawan, namun sehingga wisel penamat, kedudukan kekal Pahang 3 Sarawak 1.

Pahang dijadual bertandang ke Sarawak bagi memenuhi perlawanan kedua Sabtu depan.

Last Updated on Oktober 21, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *