Pengorbanan Fadhli Shas

By
Updated: July 20, 2013

Sebaik sahaja selesai membantu Harimau Muda A pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Kazan, Rusia, Mohd. Fadhli Shas langsung tidak berehat sebaliknya terus menyertai latihan skuad kebangsaan sejak Khamis lalu.

Dia masih merasai kepenatan kerana beraksi lima perlawanan dalam tempoh 12 hari dari 6 hingga 17 Julai di Kazan, ditambah pula dengan ibadah puasa.

Namun segala kepayahan itu diketepikan oleh Fadhli demi mewakili skuad Harimau Malaya.

Itulah pengorbanan pemain berusia 22 tahun itu yang enggan merungut malah gembira kerana khidmatnya terus ditagih oleh pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal untuk aksi persahabatan termasuk menentang Chelsea, esok.

“Saya baru sahaja sampai semalam dari Kazan tetapi itu tidak menjadi masalah untuk terus berlatih kerana sebagai pemain bola sepak profesional, saya perlu bersedia bila-bila masa sahaja untuk dipanggil.

“Penat itu perkara biasa tetapi saya ada misi yang lebih penting iaitu mahu membantu pasukan kebangsaan menentang Chelsea, dua tahun lalu saya tidak berkesempatan bermain.

“Diharapkan pengalaman saya di Kazan, Rusia (Universiade 2013) dan Eropah dapat membantu skuad kebangsaan dalam menghadapi chelsea serta beberapa perlawanan lain selepas ini, ” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan Harimau Malaya di Wisma FAM, semalam.

Dianggap sebagai tonggak paling berpengalaman dalam pasukan kebangsaan walaupun masih muda, Fadhli sememangnya sering menjadi pilihan utama Rajagobal di bahagian pertahanan pada kebanyakan perlawanan penting dilalui skuad kebangsaan.

Walaupun begitu, tugas Fadhli untuk mencabar tempat dalam kesebelasan utama bukan sesuatu yang mudah kerana kehadiran pemain Kelantan, Azizi Matt Rose pasti menyukarkan pemain berusia 22 tahun itu untuk bergandingan dengan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak di bahagian pertahanan tengah.

Azizi mempamerkan aksi yang memuaskan bagi pemain yang sudah tujuh tahun tidak bermain dengan pasukan kebangsaan dengan membentuk persefahaman mantap bersama Aidil semasa bertemu kelab Thailand, Chonburi F.C, 16 Julai lalu.

Justeru, Fadhli mengakui dia perlu mempertingkatkan lagi usaha semasa sesi latihan bagi memikat hati Rajagobal untuk berada di dalam kesebelasan utama.

“Saya sedar semakin ramai pemain baru diserapkan dan bukan satu tugasan mudah untuk mendapatkan tempat, jadi saya perlu membuktikan sesuatu pada sesi latihan di samping bekerja lebih keras, ” katanya.

Ditanya jika diturunkan jika berdepan Chelsea, Fadhli yang merupakan peminat Liverpool tidak sabar berdepan dengan pemain-pemain ternama The Blues seperti Eden Hazard, Demba Ba dan Frank Lampard.

“Barisan serangan Chelsea memang cukup mantap dan antara yang hebat di dunia dengan membariskan pemain-pemain handalan seperti Hazard dan Lampard tetapi bagi saya ini satu pengalaman yang saya tidak akan lepaskan, ” katanya.