Perlawanan Akhir Piala FA Yang Pertama Buat Nik Shahrul

Nik Shahrul Azim

Pengalaman pertama perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu bakal menjadi sandaran buat pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim untuk beraksi cemerlang ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) di final Piala FA, Sabtu ini.

Pemain muda berusia 22 tahun yang diserap dari skuad Piala Presiden itu kini menjadi tonggak penting barisan pertahanan The Red Warriors (TRW) setiap kali mengekang asakan lawan di atas padang.

Nik Shahrul Azim yang berasal dari Rantau Panjang itu berkata, kepercayaan berada dalam kesebelasan utama ketika final Piala Malaysia menentang ATM tahun lalu memberi keyakinan kepadanya untuk mengekang jentera serangan skuad Harimau Selatan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, tiada perbezaan antara cabaran Piala Malaysia atau Piala FA kerana misi mencapai kemenangan menjadi keutamaan pasukan malah pengalaman bersama skuad kebangsaan juga memberi kelebihan kepadanya.

“Ini final Piala FA pertama bagi saya. Pengalaman beraksi di final Piala Malaysia tahun lalu memberi keyakinan kepada saya untuk memberi yang terbaik kepada pasukan Sabtu ini.

“Piala Malaysia dan Piala FA sama kerana kami perlu menang kedua -duanya. Saya banyak belajar daripada pemain lebih senior dan berharap dapat membantu Kelantan mempertahankan Piala FA,” katanya.

Nik Shahrul berkata, berdepan pasukan kendalian Fandi Ahmad itu agak berat apabila terpaksa mengekang pergerakan dua bekas rakan sepasukan, Norshahrul Idlan Talaha dan Nurul Azwan Roya yang bakal mengancam gawang gergasi Pantai Timur itu.

“Sekiranya diberi peluang beraksi, saya akan beri perhatian lebih kepada mereka kerana dua pemain ini berbahaya kepada Kelantan.”

Last Updated on Jun 28, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *