Pusingan Kelayakan Pra-Olimpik: Kim Swee Tetap Optimis

Ong Kim Swee Tetap Optimis

Meskipun pemain pertahanan Faizal Muhammad disahkan mengalami kecederaan sehinggakan mengakibatkan beliau tidak dapat disertakan untuk bermain di Lahore, Pakistan pada Rabu ini, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan Ong Kim Swee tetap optimis bahawa mereka boleh mempertahankan kelebihan dua gol ketika bermain di Shah Alam tempoh hari.

Namun begitu, para pemain harus berwaspada bahawa mereka berkemungkinan berhadapan dengan ancaman psikologi di Pakistan apabila tiba di Lahore. Justeru untuk mengelak berdepan sebarang masalah yang boleh menjejaskan tumpuan anak buahnya apabila menjejakkan kaki ke Lahore malam ini, beliau turut menyusun beberapa langkah.

“Sebagai langkah berhati-hati saya mengagih-agihkan bola kepada setiap pemain dan juga mengasingkan jersi pemain kepada tiga beg apabila kami menaiki pesawat ke Lahore esok (hari ini).”

“Kita tidak tahu apa strategi Pakistan di sana, mungkin mereka boleh mengancam dari segi psikologi pemain kita. Saya sudah mengingatkan semua pemain bahawa perjuangan mereka bermula sebaik memijakkan kaki di bumi Lahore,” katanya yang ditemui sebelum sesi latihan terakhir skuad Olimpik di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Skuad negara bertandang ke Stadium Punjab bagi aksi kedua dengan bekalan dua gol hasil kemenangan di Stadium Shah Alam, 23 Februari lalu bagi meneruskan kemaraan ke pusingan kedua kelayakan Olimpik ke London.

Last Updated on Jun 28, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *