Pusingan Kelayakan Pra-Olimpik: Malaysia Menang 2 – 0 Ke Atas Pakistan

By
Updated: February 23, 2011

Malaysia mempamerkan aksi yang baik apabila menewaskan Pakistan dengan jaringan 2 – 0 di Stadium Shah Alam sebentar tadi. Dari awal wisel pertama dibunyikan, skuad bimbingan Ong Kim Swee amat agresif dengan memulakan serangan bertali-arus ke arah kawasan pintu gol Pakistan dalam perlawanan pertama ini. Percaturan ini tidak sia-sia apabila jaringan pertama dihasilkan ketika perlawanan berlangsung selama empat minit, apabila Wan Zaharul Nizam Zakaria cemerlang menggelecek bola di kawasan kotak penalti dan membuat tendangan deras ke arah pintu gol.

Permainan juga dicemari dengan sedikit kontroversi apabila seorang pemain Pakistan dilayangkan kad merah kerana menendang “bola” penjaga gol dan juga kapten skuad Olimpik kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat. Para pemain Malaysia terus melakukan asakan terhadap pintu gol lawan yang hanya bermain dengan sepuluh orang dan akhirnya pemain tengah Irfan Fazail berjaya menjaringkan gol kedua untuk Malaysia pada masa tambahan separuh masa pertama.

Selepas itu separuh masa kedua menyaksikan penjaga gol gantian Mohamad Umer dibawa masuk untuk Pakistan dan menyaksikan beliau beraksi cemerlang untuk menghalang peluang-peluang yang dicipta oleh para pemain pasukan Olimpik kebangsaan untuk melebarkan jaringan gol. Apapun, ini adalah suatu keputusan yang baik. Syabas dan tahniah kepada para pemain Malaysia yang telah menunjukkan aksi yang terbaik dan permainan menarik yang ditunjukkan.

Malaysia akan bertemu sekali lagi dengan Pakistan pada perlawanan kedua di Lahore, Pakistan dua minggu lagi untuk menentukan pasukan mana akan layak ke pusingan kedua kelayakan pra-Olimpik.