Rajagobal Gembira Kesudian Arsenal

Kedatangan Arsenal ke Kuala Lumpur Julai ini tetap dialu-alukan ketua jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal biarpun ada pihak beranggapan peluang berdepan dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu tidak memberi manfaat kepada persediaan menghadapi Piala Suzuki AFF yang akan diadakan pada 24 November hingga 22 Disember ini.

Persepsi buruk itu timbul selepas kegagalan Harimau Malaya di pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di tangan Singapura, Julai tahun lalu, menerusi agregat 6-4 selepas lebih banyak ‘meluangkan masa’ melayan kunjungan Arsenal dan Liverpool yang mengadakan kunjungan ke Kuala Lumpur sebelum pusingan kelayakan itu.

“Perlawanan dengan Arsenal ini bagus untuk persediaan menghadapi Piala AFF, jangan kita fikir perkara yang negatif. Menang atau kalah adat permainan.

“Bukan mudah untuk kita mendapat peluang seperti ini kerana kelab EPL boleh pergi ke tempat lain. Arsenal lebih hebat berbanding tahun lalu, jadi ini bagus untuk persiapan skuad kebangsaan bagi menghadapi Piala AFF, jadi saya berharap dapat mengumpul pemain terbaik kali ini,” katanya selepas majlis pengumuman Jelajah Asia 2012 Arsenal, semalam.

Pada pertemuan di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu yang disaksikan lebih 30,000 penonton, skuad kebangsaan tumpas 4-0 di tangan anak buah Arsene Wenger menerusi jaringan Aaron Ramsey, Theo Walcott, Carlos Vela dan Tomas Rosicky.

Menurut Rajagobal, beliau mahu semua pemain yang terpilih pada perlawanan itu nanti mempamerkan permainan lebih baik buat bekalan semangat menjelang misi lebih besar, mempertahankan kejuaraan Piala AFF.

“Pertemuan dengan Arsenal pastinya berbeza berbanding tahun lalu, saya mahu pemain ambil kesempatan untuk memberi persembahan lebih baik, bermain dengan lebih keyakinan dan menukar mentaliti,” katanya.

Last Updated on April 11, 2012 by


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *