Safee Sali Ke England Untuk Ujian Percubaan Bersama Cardiff City

By
Updated: September 10, 2011

Penyerang sensasi negara, Safee Sali, kini sudah diberikan peluang untuk membuktikan kemampuannya kepada pengurus Cardiff City, Malky Mackay. Kelab Indonesia yang diwakilinya, Pelita Jaya FC (PJFC) sudah memberikan lampu hijau kepada pemain berusia 27 tahun itu untuk menjalani ujian percubaan bersama kelab Liga Divisyen Dua England terbabit selama dua minggu, bermula pada Isnin ini (12 hingga 27 September).

Perkhabaran gembira terbabit disahkan pengurus peribadinya, Zakaria Abd Rahim yang menjelaskan pelepasan amat dinantikan itu sudah diberikan pihak pengurusan PJFC dan surat pelepasan terbabit juga sudah dikeluarkan pagi semalam.

“Persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak dan dia dijadualkan kembali ke Malaysia pada Ahad ini (tengahari) sebelum berangkat ke sana beberapa jam selepas itu,” katanya semalam.

Menurutnya, Safee akan tinggal di asrama pemain dan berpeluang menjalani latihan bersama-sama skuad utama kelab berpangkalan di Wales itu yang bersaing dalam Liga Kejuaraan.

“Dia akan diberikan sehari dua sebelum memulakan ujian percubaan terbabit. Perkembangan dan kebolehannya akan dipantau menerusi ujian serta program yang disusun panel pemilihan sepanjang tempoh terbabit dan berkemungkinan besar turut mendapat peluang untuk beraksi dalam satu perlawanan persahabatan bagi membuktikan kebolehannya dalam aksi perlawanan sebenar.

“Sekiranya berjaya memikat hati kelab terbabit, terpulanglah kepada budi bicara pihak Cardiff City untuk berunding dengan PJFC kerana dia masih mempunyai kontrak sehingga Januari 2012,” katanya.

Cardiff City bagaimanapun mungkin terpaksa membayar dengan harga mahal bagi mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Piala AFF 2010 itu kerana dia antara pemain tonggak yang membantu PJFC mengelakkan diri daripada tersingkir ke liga bawahan, musim lalu.

Tawaran ujian percubaan untuk Safee adalah yang kedua dilakukan Cardiff City, kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee selepas berminat untuk menguji kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim. Namun usaha terbabit terpaksa ditangguhkan kerana komitmen bersama Selangor dalam kancah Piala Malaysia.