Skuad Wanita Gah Di Thailand

Pasukan bola sepak skuad wanita kebangsaan menundukkan skuad wanita utama Thailand 2-1 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Ramkhamhaeng Universiti, Bangkok, baru-baru ini.

Thailand bermula garang apabila menghasilkan jaringan pada minit ke-33 hasil kesilapan barisan pertahanan yang goyah selepas diasak bertubi-tubi.

Skuad bimbingan Jacob Joseph memerlukan hanya dua minit selepas jaringan itu apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil jaringan ketua pasukan Angela Kais yang menguis masuk hantaran lintang pemain sayap kanan Sihaya Ajad bagi menewaskan penjaga gol Thailand.

Pasukan negara menunjukkan peningkatan apabila mengekang asakan pasukan lawan walaupun menerima sokongan padu penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium berkenaan.

Strategi dan tunjuk ajar Jacob pada masa rehat nyata membuahkan hasil apabila pasukan negara menunjukkan persefahaman baik apabila berjaya mengekang segala asakan dan dalam masa yang sama pasukan negara melancarkan serangan ke kubu lawan untuk mendahului menerusi jaringan Angela sekali lagi pada minit ke-61.

Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan ini yang pertama buat skuad negara ke atas Thailand dan kemenangan ini juga diberi liputan meluas media Thailand. Momentum pasukan kebangsaan berterusan dengan mencipta satu lagi kemenangan apabila menewaskan Kelab Bolasepak Wanita Bangkok Utara (Nothern Bangkok Women Soccer Club) 2-1 di Stadium North Bangkok University, Rangsit Klong 3, Bangkok, Khamis lalu. Norsuriani Mazli menjaringkan gol pertama buat Malaysia pada minit ke-12 selepas mendapat hantaran lintang Dadree Rofinus dari sebelah kanan hasil serangan balas pantas ke arah kubu lawan. Gol kedua turut dijaringkan Norsuriani pada minit ke-51.

Pasukan tuan rumah mendapat gol sagu hati pada minit ke-50 selepas pertahanan pasukan kebangsaan Haindee Mosroh meghadiahkan sepakan penalti selepas menjatuhkan penyerang pasukan tuan rumah dalam kotak penalti.

Pasukan bimbingan bekas jurulatih Angkatan Tentera dan UPB-MyTeam ini mendapat pujian kem Thailand kerana menunjukkan peningkatan ketara. Pasukan kebangsaan akan menamatkan siri perlawanan persabahatan di Thailand apabila sekali lagi akan bertemu pasukan wanita kebangsaan Thailand di Stadium Ramkhakaeng Universiti pada Sabtu ini.

Skuad kebangsaan menjalani latihan untuk persiapan bagi menghadapi Kejohanan Bolasepak Wanita AFF 2013 di Mandalay, Myanmar pada 9 hingga 22 September. Pasukan negara diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan Bawah 19 Australia, Vietnam, Thailand dan Jordan.

Last Updated on Julai 11, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *