Subahan: TMJ Paling Layak Jadi Presiden FAM

subahan-kamal

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memerlukan pemimpin yang mempunyai visi dan perancangan bukan saja untuk memajukan skuad kebangsaan tetapi juga mampu membuktikan bola sepak tempatan sebagai satu kerjaya yang mempunyai masa depan. Itu pandangan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Subahan Kamal.

Bagi Subahan, kriteria itu ada pada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Tunku Ismail bukan saja melakukan revolusi terhadap kejayaan JDT di atas padang tetapi juga infrastruktur dan juga pemasaran kelab itu sebagai satu jenama yang berjaya. Ia sekaligus membolehkan bola sepak menjadi satu kerjaya dan juga industri yang mampu memberi pulangan lumayan.

FAS adalah antara 12 ahli gabungan yang menyuarakan sokongan terhadap Tunku Ismail sebagai calon presiden FAM.

“Tunku Ismail bukan sahaja melihat daripada aspek kemenangan Johor, namun beliau juga melihat dari segi menaikkan taraf hidup pemain bola sepak tempatan. Saya rasa ini formula yang cukup penting yang boleh diguna pakai oleh FAM. Ketika ini, kita perlu mencari formula untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa kerjaya bola sepak itu sangat baik,” jelasnya.

Subahan turut berasa calon lain yang sebelum ini menyuarakan kesediaan bertanding jawatan presiden mampu mempertimbangkan jawatan lain untuk sama-sama membantu FAM bersama Tunku Ismail.

Sebelum ini, terdapat beberapa tokoh lain seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes, dan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, yang menyuarakan minat dengan jawatan tersebut.

“Bagi saya, tidak semestinya perlu menjawat kerusi presiden untuk membuat sumbangan. Memegang jawatan lain turut menghadirkan sumbangan sama.”

Last Updated on Oktober 16, 2016 by menj


Posted

in

,

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *