Sukan Asia 2014: Aidil Kunci Kepada Pertahanan

aidil

Aidil Zafuan Radzak menjadi resipi utama Datuk Ong Kim Swee bagi memantapkan pertahanannya yang rapuh ketika tewas 0-3 kepada tuan rumah Korea Selatan pada perlawanan pertama Sukan Asia Incheon, kelmarin. Apatah lagi hanya kemenangan berada dalam benak fikiran jurulatih berusia 43 tahun itu ketika anak buahnya terkial-kial mencari rentak dan kini wajib menundukkan Laos pada perlawanan kedua Kumpulan A, esok. Kekalahan 0-3 di tangan tuan rumah kelmarin menyerlahkan kepincangan pertahanan negara dan Kim Swee tidak teragak-agak lagi mahu menurunkan Aidil di posisi itu.

Aidil yang juga kapten skuad senior, tidak dapat diturunkan pada perlawanan pertama kerana tahap kecergasan tidak membenarkannya beraksi selain baru pulih daripada kecederaan hamstring dan ketiadaannya amat dirasai.

“Saya sedar kami perlu menang perlawanan menentang Laos. Kami hanya akan memikirkan bagaimana untuk menundukkan Laos dan melupakan seketika mengenai Arab Saudi. Kami tiada pilihan selain memenangi baki kedua-dua perlawanan kumpulan ini jika mahu melangkah ke pusingan kalah mati. Saya akan menurunkan Aidil sekurang-kurangnya 45 minit ketika menentang Laos nanti dan dari situ kami akan lihat sama ada dia boleh beraksi sepenuh masa menentang Arab Saudi,” jelas Kim Swee.

Beliau menganggap pertemuan menentang Laos sebagai satu perlawanan berbeza berbanding menentang tuan rumah dan tidak memandang rendah keupayaan lawan yang ditundukkan skuadnya 4-1 pada peringkat kumpulan pada temasya Sukan SEA Myanmar tahun lalu.

“Mereka berjaya mengekang setiap asakan Arab Saudi dalam tempoh 75 minit pertama perlawanan semalam (kelmarin). Kami tidak boleh memperlekehkan cabaran mereka.” Kim Swee bagaimanapun tidak menyembunyikan keinginannya untuk mengatasi Laos dengan perbezaan lebih tiga gol.

Arab Saudi membenam Laos 3-0, kelmarin sekali gus menghuni tangga teratas Kumpulan A di samping tuan rumah Korea Selatan yang turut menang dengan jumlah jaringan sama.

Last Updated on September 17, 2014 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *