Sukan SEA 2017: Badi Tahun 2001 Berulang Lagi

Episod sama yang berlaku pada tahun 2001 berulang lagi. Penjaga gol sekali lagi merosakkan kesempurnaan kejayaan Malaysia menjadi juara Sukan SEA seperti yang berlaku dalam perlawanan akhir bola sepak pada 2001 dengan keputusan serupa 1-0. Jika 16 tahun lalu Kamarulzaman Hassan menampan bola masuk ke gawang sendiri di Stadium Shah Alam, malam tadi Muhammad Haziq Nadzli melakukannya menentang lawan sama digelanggang yang sama.

Satu kesilapan, dan Malaysia hilang emas yang ditunggu untuk melengkapkan status juara keseluruhan temasya Kuala Lumpur 2017. Kamarulzaman dan Muhammad Haziq melakukan kesilapan serupa iaitu gagal menjinakkan hantaran dari sebelah kiri gawang. Bezanya Kamarulzaman menepis umpanan lintang Sarawut Treephan ke dalam gawang sendiri pada minit-minit akhir perlawanan manakala Muhammad Haziq menumbuk sepakan sudut Sasalak Haiprakhon pada minit ke-38.

Walaupun kecewa dengan kekalahan pasukannya, jurulatih skuad negara, Datuk Ong Kim Swee tidak menyalahkan Muhammad Haziq.

“Kami sudah memberikan cabaran kepada pasukan lawan namun gol yang dilepaskan seperti itu dilakukan pada waktu yang salah. Saya tahu bukan mudah untuk dia (Muhammad Haziq) menerimanya. Saya tidak menyalahkan dia dan berharap dia dapat melupakan perkara itu. Jadikan ini sebahagian daripada proses pembelajaran,” kata Kim Swee kepada wartawan selepas perlawanan.

Indonesia pula meraih pingat gangsa selepas bangkit pada babak kedua untuk menumpaskan Myanmar dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. Kemenangan terbaru ini melebarkan rekod kejayaan Thailand dalam acara bola sepak lelaki Sukan SEA kepada 16 kali. Skuad yang dibimbing bekas pemain Kelantan, Worrawoot Srimaka juga mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Singapura.

Walaupun tewas, skuad Kim Swee telah menunjukkan semangat juang yang tinggi terutama selepas rehat untuk memburu gol penyamaan walaupun cemas pada minit ke-52 apabila Chenrop Samphaodi mengatasi Muhammad Adib Zainudin sebelum melorong bola kepada Worachit Kanitsribumphen, namun kuisan pemain itu ditampan keluar oleh pemain pertahanan Adam Nor Azlin untuk menyelamatkan gawang negara daripada dibolosi kali kedua.

Tersentak dengan serangan itu, skuad muda negara mengatur serangan lebih kemas dan peluang keemasan hadir pada minit ke-78 menerusi rembatan kencang Muhammad Syazwan Andik Mohd. Ishak dari luar kotak penalti namun bola melepasi sedikit palang gol.

Last Updated on Ogos 13, 2023 by menj

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *