Sultan Ahmad Shah Lepas Jawatan Presiden?

Sultan Bola

Persa­tuan Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan bakal mendapat presiden baru kerana difahamkan Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan sempena Kongres FAM yang akan berlangsung bulan depan. Jika ini berlaku, calon yang akan menggantikan baginda ialah anak­andanya, Tengku Abdullah yang ketika ini merupakan timbalan presiden, walaupun nama-nama calon yang akan bertanding untuk jawatan tertinggi dalam pemilihan sempena kongres ke-50 itu hanya akan diumumkan hari ini.

Difahamkan sehingga petang semalam, tiada nama lain dicalonkan untuk jawatan itu.

Desas-desus bahawa Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatan presiden untuk 2014-2018 semakin kuat semalam, dan sumber yang rapat dengan FAM memberitahu baginda telah memikirkan semasak-masaknya keputusan itu. Bagaimanapun, persoalan itu hanya akan disahkan oleh Setia­usaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam sidang akhbar selepas mesyuarat eksekutif FAM hari ini.

“Difahamkan Tuanku (Sultan Ahmad Shah) bersedia untuk melepaskan jawatan Presiden FAM dan merasakan inilah detik terbaik untuk baginda melakukannya.

“Tuanku mahu menye­rahkan amanah kepada anakandanya (Tengku Abdullah) bagi meneruskan perjuangan memartabatkan bola sepak negara yang di­tinggalkannya.

“Ramai mempercayai Tengku Abdullah sebagai calon yang tepat bagi meneruskan kesinambungan yang ditinggalkan oleh Tuanku,” kata sumber berkenaan kepada media.

Sebelum ini media mendedahkan bahawa Persatuan Bola­sepak Negeri Pahang (PBNP) telah membuat keputusan mencalonkan Tengku Abdullah sebagai presiden, sekaligus memberi petanda Sultan Ahmad Shah tidak akan bertanding pada kali ini.

Malah, 12 daripada 20 badan gabungan FAM telah mencalonkan Tengku Abdullah sementara hanya lima sahaja kepada Sultan Ahmad Shah.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula mendapat tiga pencalonan dan Tengku Mahkota Johor difahamkan membuat keputusan untuk tidak bertanding kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di peringkat negeri.

Jika ini berlaku, bermakna mesyuarat eksekutif FAM kali ke-11 hari ini, yang juga kali terakhir untuk penggal 2010-2014, adalah kali terakhir Sultan Ahmad Shah mempengerusikan mesyuarat.

Jika Tengku Abdullah dilantik sebagai Presiden FAM yang baru, persaingan timbalan presiden di­jangka melibatkan tiga penjuru antara dua naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah serta Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagi jawatan naib pre­siden, beberapa nama se­perti Datuk Rosmadi Ismail (Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan), Datuk Sudarsono Osman (Presiden Per­sa­tuan Bolasepak Sarawak), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Presiden Persatuan Bolasepak Perak) adalah antara nama yang akan bertanding.

Nama lain yang dikatakan akan merebut kerusi itu ialah Datuk Rozabil Abdul Rahman (Presiden Persatuan Bolasepak Perlis), Datuk Astaman Abdul Aziz (Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur) dan Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor (Setiausaha Persatuan Bolasepak Pulau Pinang).

Last Updated on April 23, 2014 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *