Tiba Masanya Untuk Presiden FAM Berundur

By
Updated: June 21, 2012

Terlebih dahulu saya memohon maaf jika tulisan saya kali ini akan menguris hati mana-mana pihak terutama sekali seluruh rakyat negeri Pahang. Ibu saya sendiri berasal dari Temerloh, tapi bukan itu sebabnya kenapa saya tidak boleh bercakap mengenai Presiden FAM yang berasal dari Pahang.

Sejak Tuanku mengambil alih tampuk Presiden FAM pada 1984, Malaysia tidak lagi ke Olimpik. Sejak itu juga, Malaysia telah ketinggalan tahun demi tahun kepada pasukan yang dahulunya mudah untuk kita tewaskan seperti Korea Selatan, Jepun, Iran, mahupun Kuwait. Sejak Tuanku mengambil alih tampuk pimpinan, Malaysia tidak lagi layak ke Piala Asia secara merit. Tidak lagi melepasi pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia. Laos, Myanmar, Vietnam sudah boleh tewaskan kita. Apakah itu Tuanku merasakan ini suatu kemajuan? Jika antara tahun 1960 sehingga 1980 kita menjadi pasukan digeruni di Asia pada ketika kemudahan dan peralatan serba kekurangan, apatah lagi imbuhan puluhan ribu ringgit, kenapa bola sepak kita semakin mundur ketika arus peredaran zaman semakin membangun?

Maaf jika saya katakan kejuaraan Piala AFF dan Sukan SEA adalah bukan taraf kita jika dikaji siapa Harimau Malaya dahulu. Olimpik dan Piala Asia adalah medan sebenar pasukan kita. Sukan SEA dan Piala AFF sepatutnya adalah untuk barisan muda yang ingin menimba pengalaman. Kita memiliki sebuah skuad generasi emas, namun sejak Tuanku mengambil alih, kenapa tidak dapat kesinambungan daripada pemain-pemain generasi emas ini? Tidak logik yang kita ketandusan pemain, sedangkan taraf pembangunan teknologi kita lebih baik daripada Iraq, Syria mahupun Bahrain. Tetapi kini mereka sudah jauh meninggalkan kita. Apa bezanya berlatih di padang pasir seperti Iraq atau di tempat yang dilengkapi dengan gym dan pool tetapi kualiti masih jauh ketinggalan? Maaf juga jika saya katakan, kerana berlatih dalam suasana perang yang membawa Iraq muncul juara Asia pada 2007. Malaysia yang gah di sebalik stadium yang bertaraf dunia, teruk dibelasah.

Apa beza dahulu dan sekarang? Jika dahulu kita gergasi Asia, sepatutnya sekarang kita sudah boleh mencapai tahap 20 pasukan terbaik dunia jika developement yang Tuanku lakukan dengan cara yang betul dan ikhlas. Apa yang Jepun lakukan sehingga mereka kini sudah boleh tewaskan Argentina? Layak ke Piala Dunia empat kali berturut-turut. Apa yang presiden mereka lakukan dan apa yang presiden kita tidak lakukan? Dan itu Tuanku kata bola sepak kita semakin MAJU? Apakah dengan kejayaan Piala AFF, Tuanku merasakan bola sepak Malaysia sudah sampai ke kemuncak prestasi?

Tidak, Tuanku. Itu baru permulaan kepada kebangkitan. Apa yang Tuanku lakukan sehingga David Beckham atau Roy Keane sendiri tidak pernah mendengar tentang wujudnya pasukan bola sepak Malaysia ketika kunjungan mereka pada tahun 2001? Presiden sebelum ini, Tan Sri Hamzah Abu Samah tidak pernah melepaskan peluang turun ke Stadium Merdeka untuk melihat anak-anak buahnya beraksi. Mengiringi mereka ketika menjulang kejuaraan Pestabola Merdeka 1978, memberi wang imbuhan hanya RM500 untuk setiap pemain, tetapi dibalas dengan kejayaan ke Olimpik Moscow 1980 walaupun kita memboikot temasya itu. Adakah Tuanku sering turun melihat anak-anak buah Tuanku beraksi walaupun persahabatan? Jarang sekali, Tuanku.

Kita pernah dilabelkan oleh seorang wartawan Jepun yang meramalkan Malaya (ketika itu) bakal menjadi wakil Asia pertama ke Piala Dunia. Di sebalik kemajuan yang terhidang, sayang bola sepak kita pula semakin mundur. USA yang kita tewaskan dahulu kini sudah melahirkan pemain bertaraf dunia, Croatia yang kita tinggalkan dahulu kini sudah melahirkan Luka Modric. Sudah tiba masanya untuk Tuanku berundur secara terhormat. Para pemain yang kita ada sekarang mempunyai mentaliti yang bagus, namun jika salah pembagunan yang diberi serta campurtangan orang-orang Tuanku, maka tidak mustahil skuad ini juga akan menerima nasib yang sama seperti era 90-an dan 2000.

Kejatuhan kita bermula dengan rasuah, tapi bukan itu alasan untuk kita tidak boleh bangkit jika Tuanku tidak menyekat hajat arwah Dato’ Basri Akil dahulu — yang ingin mewujudkan akademi di setiap negeri — kerana kos yang tinggi. Apakah dengan membayar jutaan ringgit kepada kelab EPL untuk satu malam dilihat berbaloi daripada melabur jutaan ringgit untuk pembangunan jangka masa panjang? Apakah kita boleh menghasilkan pemain berkualiti dengan perlawanan hanya untuk satu malam? Di manakah pemikiran Tuanku yang ingin melihat bola sepak kita semakin maju jika terus begini?

Inilah masanya untuk Tuanku meletak jawatan. 3 pingat emas Sukan SEA, 2 kejuaraan Pestabola Merdeka dan 1 Piala AFF dibawah pemerintahan Tuanku amat kami hargai. Tetapi saya sebagai peminat sejak zaman Stadium Merdeka amat merindui jeritan ke Olimpik, kepuasan ketika menewaskan Korea Selatan dan Jepun, meraikan kemenangan dengan memeluk pemain.

Kehebatan itu sudah hilang, Tuanku. Sekian.

Sumber

One Comment

  1. ixora azura

    June 22, 2012 at 2:18 am

    wow..sokong!!