Tiga Jurulatih Eropah Bantu Teong Kim

By
Updated: October 15, 2016

Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) melantik tiga jurulatih dari Eropah untuk membantu pengarahnya, Lim Teong Kim menyelaraskan latihan ke seluruh negara. Tiga jurulatih itu terdiri daripada bekas pengendali skuad remaja kelab Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) iaitu Saad Khalalene dan Frank Plaine bersama Abdi Hassan bekas jurulatih kelab FC Twenty di Liga Belanda. Pengarah Kanan NFDP, Safirul Abu Bakar berkata, pelantikan ketiga-tiga jurulatih terbabit bagi membolehkan Teong Kim memberi fokus sepenuhnya kepada skuad elit yang berpangkalan di Gambang itu.

“Ketiga-tiga pengendali ini akan dipertanggungjawabkan untuk memantau perkembangan akademi yang berada di setiap negeri dengan dua daripadanya sudah memulakan tugas. “Kami percaya dengan kehadiran mereka akan membantu memudahkan kerja Teong Kim berbanding sebelum ini beliau terpaksa bergerak ke seluruh negara melihat akademi di negeri-negeri,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan NFDP di sini, semalam.

Ditanya berhubung kontrak Teong Kim, Safirul Azli berkata pihaknya sudah berbincang dengan bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu untuk menyambung kontraknya selama tiga tahun. Malah, sekiranya Teong Kim bersetuju menerima kontrak baharu itu, beliau akan memegang jawatan Pengarah Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari dan Ketua Pembangunan Elit FAM. “Dalam kontrak baharunya nanti, Teong Kim akan diberi peranan baharu menerusi penstrukturan yang sedang pihak kami lakukan. “Kami tengah tunggu beliau pulang daripada bercuti pada 22 Oktober ini, dan beliau sedia maklum perkara ini namun tidak mengetahui secara terperinci berhubung kontrak baharu itu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *