Misi Mustahil Anak Buah Kim Swee

By
Updated: Julai 3, 2013

Universiade 2013

Skuad Harimau Muda A tiba di Kazan, Russia semalam dengan membawa misi mustahil di Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) selepas skuad kendalian Ong Kim Swee itu kehilangan tiga pemain tonggak pada saat akhir.

Dua pemain tengah, Muhammad Ariff Farhan Mohd Isa dan Adam Nor Azlin berusia 17 tahun terpaksa diketepikan kerana masalah pendaftaran manakala pemain pertahanan, Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris mengalami kecederaan sekali gus menyebabkan pengendali itu hanya memiliki 16 pemain bagi mengharungi saingan Kumpulan C temasya sukan itu.

“Saya dimaklumkan minggu lalu, nama Adam Nor terpaksa digugurkan daripada skuad dan semalam (kelmarin) masalah sama menimpa Ariff Farhan. Sama ada masalah ini timbul kerana umur pemain, visa atau masalah lain saya tidak tahu kerana pendaftaran diuruskan KPT (Kementerian Pengajian Tinggi).

“ Kini saya hanya miliki 16 pemain untuk mengharungi lima perlawanan dalam 11 hari apabila Amirzafran pula mengalami kecederaan dan tugas kami di kejohanan ini pasti lebih sukar. “Bukan mudah mencari pemain pengganti kerana Sukan Universiti Dunia ini tidak sama dengan kejohanan lain kerana kami boleh mendaftar hingga 50 pemain untuk dipanggil pada bila-bila masa, ” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Kazan.

Sebelum ini, Kim Swee yang dihimpit masalah kecederaan pemain utama tidak dapat menggunakan khidmat pemain luar apabila daripada lapan pemain luar disenaraikan, hanya tiga yang mendapat pelepasan pasukan masing-masing iaitu K. Reuben (Angkatan Tentera Malaysia), K. Prabhakaran (Sime Darby) dan Nazirul Naim Che Hashim (FC Ryukyu).

Dengan barisan pemain yang dianggap “skuad kedua” yang dimilikinya kini, beliau berharap skuadnya mampu memberi tentangan sengit apabila turun menentang Itali pada perlawanan pertama Jumaat ini sebelum berdepan Great Britain (8 Julai) dan Algeria (10 Julai).

“Bagi saya, ini satu misi mustahil kerana saya kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan serta hanya mendapat tiga pemain luar daripada lapan pemain yang dipanggil. Jika semua lapan pemain yang saya senaraikan dapat bersama, saya yakin mempunyai skuad yang agak seimbang.

“Walaupun ini hanya Sukan Universiti Dunia, ia bukan kejohanan mudah apabila berdepan pasukan seperti Itali dan Great Britain yang mempunyai reputasi bola sepak bagus. Mereka juga mempunyai pemain lebih berusia sedangkan kami hanya menggunakan pemain bawah 22 tahun kecuali K Reuben.

“Saya harap pemain memanfaatkan pendedahan selama tiga bulan di Eropah menentang kelab di Slovakia, Republik Czech dan Austria sebelum ini untuk memberikan tentangan sengit,” kata Kim Swee.

Ketika ditanya sejauh mana sasaran skuad Harimau Muda A di Universiade, pengendali itu berkata: “Buat masa ini saya mahu fokus kepada satu-satu perlawanan, mustahil untuk saya letakkan sasaran kerana kita bukan pasukan pilihan.” Untuk rekod, skuad negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada temasya edisi 2011 di Shenzen, China selepas tumpas dalam ketiga-tiga perlawanan.