Mourinho Janjikan Aksi Hebat Bertemu Malaysia

Malaysia Kehausan Kemenangan

Pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea tiba di Malaysia hari ini dari Bangkok untuk meneruskan perlawanan pra-musim dengan Malaysia XI pada Ahad ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Chelsea di rantau ini kerana menyokong kami dan setia bersama kami. Para penyokong tidak sabar untuk menyambut kehadiran kami di sini dan saya akan menurunkan barisan pemain terhebat nanti untuk penyokong,” kata Mourinho di sidang media.

Jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal turut teruja untuk perlawanan yang dinantikan itu.

“Bukan selalu kita dapat beraksi dengan kelab seperti Chelsea jadi ini satu pengalaman yang baik untuk skuad negara.” kata Rajagobal.

Pada awal sidang media tersebut, pegawai komunikasi Chelsea, Steve Atkins telah memaklumkan kepada para wartawan bahawa mereka tidak akan menjawab soalan tentang pemain Manchester United, Wayne Rooney.

Terdapat juga spekulasi yang mengatakan Wayne Rooney akan ditukar dengan Juan Mata atau David Luiz.
Walaubagaimanapun apabila ditanya jika terdapat kemungkinan kedua-dua pemain tersebut untuk berpindah, Mourinho berkata: “Tidak mungkin sama sekali. Mereka akan kekal.”

Mourinho juga ditanya tentang Piala Dunia tahun depan dan bagaimana beliau akan memotivasikan pemain-pemainnya menjelang Piala Dunia.

Katanya: “Saya sentiasa memberitahu pemain-pemain saya bahawa apabila mereka bersama pasukan kebangsaan jangan fikirkan tentang kelab…tetapi jika bersama kelab mereka harus lupakan skuad negara mereka dan berikan segalanya untuk kelab.”

Mourinho turut menyatakan pemain-pemain harus lah menjadi pilihan pertama di kelab mereka untuk mendapat peluang beraksi untuk negara.

Tambahnya: “Pada masa yang sama, biasanya pemain yang ingin terpilih untuk beraksi dengan skuad negara mereka, mereka mestilah menjadi pilihan pertama untuk kelab dan kerap beraksi. Itu adalah satu motivasi yang tinggi jika mereka ingin beraksi di Piala Dunia.

“Jika mereka ingin ke Piala Dunia dan mereka adalah pilihan kedua di kelab mereka, mereka dalam bahaya.
“Saya rasa ini satu tahun yang penting untuk mereka. Ramai jurulatih skuad kebangsaan yang bimbang kerana mereka ingin pemain beraksi dengan kerap untuk kelab mereka. Mereka perlu beraksi untuk saya untuk beraksi dengan mereka. Mereka harus kongsi situasi ini.”

Last Updated on Julai 19, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *