OKS Puas Hati Dengan Kombinasi Baharu

datuk-ong-kim-swee

Ketua jurulatih negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui berpuas hati dengan kombinasi pemainnya, terutama di bahagian pertahanan, selepas seri 1-1 dengan Afghanistan di Stadium Shah Alam pada hari Rabu yang lepas.

Kim Swee melakukan perubahan drastik terhadap kesebelasan utamanya ketika perlawanan persahabatan antarabangsa itu. Ia menyaksikan lapan pemain yang tidak berada dalam kesebelasan utama ketika bertemu Singapura, Jumaat lalu, memulakan aksi. Ternyata, tindakan itu menyuntik elemen positif meskipun skuad negara bermula perlahan pada babak pertama.

“Apa yang saya lihat, mereka mengetahui tugas mereka dan lapan pemain yang diturunkan itu, seperti yang telah saya katakan, mereka memahami apa yang perlu mereka lakukan, terutamanya mengetahui tentang sistem pasukan,” jelasnya.

Lantas, Kim Swee gembira dengan peningkatan corak permainan anak buahnya selepas turut berjaya meraih jaringan. Dalam dua perlawanan terdahulu, jentera serangan skuad negara kelihatan tumpul susulan kegagalan menghasilkan gol.

“Sudah tentu ia sedikit merisaukan tetapi apa yang penting, kami tidak tewas dan dalam masa yang sama, seperti yang telah saya katakan, kem kali ini lebih tertumpu kepada bahagian pertahanan. Selepas ini, sudah tentu ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan, terutamanya dari segi bahagian serangan,” tambah Kim Swee.

Sementara itu, pengendali Afghanistan, Petar Segrt, mengakui jaringan penyamaan Malaysia pada lewat babak pertama, menjejaskan momentum permainan pasukannya pada babak kedua.

“Apabila kami mendahului dengan satu gol, ia memberikan kesukaran kepada pasukan lawan. Bagaimanapun, ia dilihat menjadi penyuntik kepada kebangkitan mental lawan dan menjatuhkan mental pemain kami. Mereka juga berjaya untuk menggunakan kebangkitan tersebut dengan sebaik-baiknya. Mereka boleh bermain bola sepak dengan baik, dengan semua barisan pemain serta jurulatih yang bagus, pada saya tidak banyak perubahan kelihatan,” jelas Segrt.

Last Updated on Oktober 16, 2016 by menj

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *