Kelayakan Piala Asia B-22: Ong Kim Swee Harap Tuah Aksi Pertama

Berdepan pasukan pilihan utama, Korea Selatan dan terpaksa beraksi pada waktu 3.15 petang, mungkin bukan satu situasi yang pasti dimahukan oleh mana-mana jurulatih. Namun, itulah cabaran sulung yang terpaksa dihadapi oleh jurulatih negara, Ong Kim Swee bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala AFC Bawah 22 tahun dan perlu melalui tiga lagi baki perlawanan di sebelah petang sebelum menutup tirai bertemu tuan rumah, Myanmar sebelah malam.

Tidak mahu melihat dua faktor boleh mengganggu fokusnya, Kim Swee tetap berasakan ada sesuatu yang positif di sebalik apa yang terjadi dan yakin segala perancangan akan menjadi.

”Dalam perlawanan pertama, di mana-mana kejohanan pun, selalunya berbeza kerana kebanyakan pasukan akan mencari rentak masing-masing.

”Seperti mana anda lihat juara bertahan, Sepanyol pada kejohanan Euro 2012, mereka hanya sekadar seri pada perlawanan pembukaan bertemu Itali.

”Jadi, saya harap situasi ini akan berpihak kepada kita dan diharapkan kita mampu mencuri satu mata dalam perlawanan ini.

”Secara jujurnya saya belum melihat aksi skuad Korea Selatan kali ini tetapi saya percaya mereka mempunyai kualiti yang hebat seperti mana Jepun,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Yangon, Myanmar.

Skuad negara yang telah menjalani latihan selama sebulan termasuk menjalani latihan di luar negara di Slovakia dan Hungary, akan turun bertemu Korea tanpa khidmat dua ayam tambatan, Mohd. Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal Wan Noor yang masih menjalani penggantungan perlawanan.

Sementara itu, bintang muda berbakat negara, Mohd. Nazmi Faiz Mansor berjanji akan tidak lagi mengulangi kesilapan serupa yang dilakukan semasa bertemu Qatar dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini di Stadium Shah Alam.

”Saya akan elakkan perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku atas padang kerana ia boleh menjejaskan persembahan pasukan dan bijak mengawal emosi.

”Kejohanan ini saya akan jadikan medan penebus kegagalan kita di kelayakan Olimpik dan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya.

Nazmi Faiz pada perlawanan menentang Qatar tempoh hari menempah padah gara-gara gagal mengawal emosi ketika menyerang pemain lawan, Abdelkarim Hassan Fadlalla yang mengasari Azrif Nasrulhaq.

Last Updated on Jun 28, 2013 by


Posted

in

,

by

Tags:

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *