Piala FA 2013: Kelantan Lancar Perang Psikologi

Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mula melancarkan perang psikologi menjelang aksi final menentang Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini. Secara terbuka, Hodak menganggap The Red Warriors lebih layak untuk diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai kempen Piala FA kali ini.

“Banyak artikel yang disiarkan oleh pihak media menyebut Johor DT adalah pasukan pilihan yang akan menjuarai Piala FA musim ini.

“Mungkin benar jika mereka melihat kepada status pemain yang dimiliki pasukan itu, tetapi saya mahu beritahu bahawa Kelantan juga memiliki ramai pemain yang hebat.

“Sebahagian besar pemain Kelantan yang ada ketika ini mempunyai pengalaman bermain di pentas sebegitu besar, sama ada final Piala FA atau Piala Malaysia.

“Bagaimanapun, saya fikir ini bukan aksi final yang mudah untuk orang ramai membuat jangkaan mengenai keputusannya,” kata Hodak ketika ditemui Kosmo! di Kota Bharu semalam.

Pada masa sama, Hodak tidak menafikan bahawa Johor DT memiliki barisan pemain yang hampir sempurna terutama jentera tengah dan serangan yang dilihat cukup berbahaya dan mampu memberikan masalah kepada benteng pertahanan Kelantan. Namun, beliau berkata, skuad Harimau Selatan itu mungkin melakukan kesilapan besar jika menilai Kelantan melalui dua keputusan saingan Liga Super sebelum ini yang menyaksikan The Red Warriors hanya mampu seri di Kota Bharu dan tewas di Larkin, Johor.

“Jika anda lihat ketika kami tewas di Johor sebelum ini, kami bertahan dengan baik, cuma mereka (Johor DT) menjaringkan gol pertama dari luar kotak penalti yang kebetulan bola melantun sehingga mengelirukan Apek (Khairul Fahmi Che Mat).

“Gol kedua mereka juga lebih kepada nasib kerana ada pemain saya yang tertampan bola sebelum ia menerjah ke dalam gawang.

“Menjelang aksi final nanti, saya tidak fikir untuk memberikan tugas khusus kepada pemain pertahanan untuk menjaga mana-mana pemain lawan.

“Bagi saya, kami sudah bersedia, pertahanan kami cukup baik dan kali ini kami tampil dengan jentera serangan yang berbeza berbanding ketika kami tewas kepada Johor DT tempoh hari.

“Kehadiran semula Dickson (Nwakaeme), Norfarhan (Mohamad), Faiz (Subri) selain percaturan yang lebih segar, pasti memberi memberi lebih kekuatan kepada kami nanti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hodak mampu menarik nafas lega apabila kesemua pemainnya bebas daripada masalah kecederaan dan penggantungan.

“Saya perlu memilih pemain yang betul-betul fokus, mempunyai pengalaman dan paling penting pemain yang mempunyai lebih kualiti,” jelasnya.

Last Updated on Jun 28, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *