Raja Ahmad: PM Layak Jadi Presiden

raja-ahmad-zainuddin-raja-omar

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar mencadangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak mengambil alih kerusi No. 1 badan induk tersebut pada penggal seterusnya. Jelasnya, cadangan tersebut selari de­ngan sejarah Presiden FAM yang menyaksikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan juga bapa Najib, Tun Abdul Razak Hussein pernah memegang jawatan tersebut.

Tambah beliau, Najib menepati kredibiliti untuk mengisi jawatan itu menerusi pengaruh besarnya, sekali gus dapat me­leraikan kemelut dalam FAM.

“Bagi saya Presiden FAM perlu orang yang berpengaruh. Apa salahnya kalau kita tawarkan kepada Perdana Menteri. Terpulang kepada beliau sama ada bersetuju untuk dicalonkan atau tidak. Sebab bola sepak adalah ibu segala sukan. Kita dahulu pun pernah ada bekas Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Hamzah Abu Samah menjadi Pre­siden FAM (tahun 1976-1983). Pada waktu itu beliau dibenarkan oleh Kabinet untuk meme­gang jawatan, tetapi sekarang dah tak boleh. Bagi saya Datuk Seri Najib seorang tokoh yang hebat, dia boleh bagi semangat dan motivasi kepada pemain dalam usaha mengembalikan martabat bola sepak negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin berkata, wakil ahli gabungan badan induk itu boleh menamakan sesiapa sahaja untuk bertanding dalam pemilihan FAM walaupun calon tersebut di luar kuasa bola sepak negara, asalkan ia mendapat sokongan.

“Boleh sahaja orang yang tiada kena mengena dalam FAM dicalonkan. Malah, dalam peraturan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) juga tidak salah. Yang menjadi masalah adalah jika kerajaan masuk campur sehingga mengganggu kelancaran urusan bola di sesebuah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah diminta mengulas berhubung kerancakan menjelang pemilihan anggota EXCO baharu badan induk itu bagi sesi 2017-2021 yang dijangka diadakan pada Januari tahun depan.

Antara nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Presiden FAM adalah pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dan dua lagi tokoh korporat, Tan Sri Tony Fernandes serta Datuk Seri Idris Jala.

Last Updated on Oktober 18, 2016 by menj


Posted

in

,

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *