Sultan Bola Murka!

Sultan Bola

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu Sultan Ahmad Shah membidas segelintir pihak yang melemparkan kritikan mempertikai tugas badan induk itu tanpa berfikir panjang. Menurutnya biarpun negara memiliki kebebasan bersuara, beliau berkata, ada masanya setiap komen yang ingin diberikan perlu difikirkan terlebih dulu sebelum memberikan pandangan masing-masing.

“Sudah tentu anda boleh memberi komen kerana Malaysia negara bebas untuk bersuara tapi fikir dulu implikasinya, adakah ia memberi faedah kepada FAM atau persatuan bola sepak lain di Malaysia ini.

“Sudah 28 tahun saya menjadi presiden dan saya yang memperkenalkan liga profesional di Malaysia, siapa yang memberi komen itu perlu tahu apa yang dia cakap, tidak kisah siapa anda dan jawatan yang anda pegang, anda perlu bersedia untuk menerima kritikan,” katanya.

Sultan Ahmad Shah memberi kenyataan itu bagi menjawab kritikan dilemparkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa yang menganggap bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad tidak memahami situasi bola sepak negara apabila membidas sikap persatuan negeri kerana terlalu bergantung kepada sumber kewangan badan induk itu. Annuar berkata, FAM sepatutnya menghulurkan bantuan kepada persatuan negeri memandangkan mereka menjana pendapatan kepada badan induk bola sepak tanah air itu, antaranya menerusi penjualan hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia kepada Astro bernilai RM30 juta setahun.

“Untuk pengetahuan umum, FAM membelanjakan purata RM45 juta setahun untuk Liga Malaysia dan tajaan diterima dari Astro hanya RM30 juta. Ia tidak mencukupi. Mereka yang komen itu tidak tahu kesulitan dihadapi FAM kerana tidak berada dalam badan induk. Biarpun tidak cukup, kami perlu berkerja, segala urusan perlu diteruskan,” katanya.

Annuar yang menjalani penggantungan 30 bulan akibat kritikannya terhadap prestasi skuad bola sepak kebangsaan, dilapor berkata pasukan yang terbabit dalam Liga Malaysia turut mempunyai hak ke atas wang itu dan bukannya milik FAM semata-mata.

Last Updated on Jun 28, 2013 by


Posted

in

by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *