Terlalu Berhati-hati Punca T-Team Tumbang

rachmad-darmawan

Gol awal Selangor merentap semangat pemain saya,” akui pengendali T-Team, Rachmad Darmawan selepas pasukannya tewas 0-3 pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Jurulatih berasal dari Lampung, Indonesia itu berkata jaringan R Gopinathan seawal minit ketiga memberi tekanan kepada anak buahnya yang cuba bangkit daripada defisit 1-2 selepas tewas pada separuh akhir pertama.

“Kami bermula dengan terlalu berhati-hati…bila kita mula sedar sekali lagi dikejutkan dengan jaringan kedua lawan,” katanya selepas perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dekat sini, malam tadi.

Rachmad berkata, perbezaan pengalaman tidak banyak mempengaruhi permainan namun corak berhati-hati yang dipamerkan anak buahnya menjadi punca kekalahan itu.

“Lihat pergerakan pemain pada awal permainan, mereka sangat hati-hati, takut untuk lepaskan bola ke depan. Semuanya cuba untuk bertahan dan Selangor terus memberi tekanan kepada kita,” katanya.

Selangor menang 3-0 menerusi jaringan Gopinathan diikuti gol Ugochukwu Ukah pada minit ke-19 dan Andik Vermansah pada minit terakhir perlawanan, sekali gus mara ke final dengan agregat 5-1 untuk bertemu Kedah yang layak dengan agregat 2-1 selepas seri 0-0 dengan Polis Diraja Malaysia, malam tadi.

Rachmad berkata pemainnya juga gagal menyerap serangan bertubi-tubi skuad Gergasi Merah yang tampil garang sejak awal perlawanan.

“Pemain cuba bangkit dan mula mengatur serangan bagi mendapatkan jaringan tetapi tetap tidak berhasil,” katanya.

Beliau turut mengakui penjaga gol Selangor Mohd Khairul Azhan beraksi dengan cemerlang dan beberapa pergerakan yang cuba dihasilkan pemainnya, sering dapat dipatahkannya.

Last Updated on Oktober 16, 2016 by menj

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *