Tiada Ghaddar Untuk Aksi Lebanon Menentang Malaysia

By
Updated: Mei 30, 2017

Nampaknya tiada kelibat penyerang sensasi baru Johor Darul Ta’azim (JDT) bagi perlawanan Lebanon menentang Malaysia nanti. Dalam senarai pemain yang dipanggil untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 itu, tiada nama Mohamad Ghaddar. Skuad Lebanon akan bertandang ke Malaysia pada 3 Jun sebagai persiapan mereka bertemu Malaysia. Mereka akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang UAE pada 7 Jun sebelum bertemu tuan rumah, Malaysia pada 13 Jun.

Menurut laman web falebanon.com, Jurulatih Lebanon, Miudrag Radulovic membuat keputusan menggugurkan Ghaddar selepas timbul masalah berkenaan jawatan ketua pasukan di antara penjaring terbanyak Liga Malaysia dengan staff kejurulatihan Lebanon.

Namun, dua pemain yang bermain di Liga Malaysia berada dalam senarai pemain yang dipanggil ke kem latihan Lebanon.

Pemain import baru Kelantan, Abu Bakr Al Mel dan Moataz Bellah Ah-Junaidi yang bermain untuk Felda United antara pemain yang menerima panggilan Radulovic.

Satu-satunya nama baru yang dipanggil oleh Radulovic adalah Omar Bugiel yang bermain bersama Forest Green Rovers FC di England. Selain itu tiada nama baru yang dipanggil olehnya.

Seramai 19 daripada 23 pemain telah menerima panggilan dari Radulovic dengan baki empat pemain lagi akan menyertai pasukan di Malaysia. Antaranya adalah Samir Ayass (FC Dunav Ruse- Bulgaria), Hilal El-Helwe (Hallescher FC – Jerman), Soony Saad (Sporting Kansas City – Amerika Syarikat) dan Jad Noureddine (Arema FC – Indonesia).

Ini merupakan perlawanan pertama buat Malaysia dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 selepas perlawanan bertemu Korea Utara ditanggguhkan disebabkan masalah di antara dua negara tersebut.

Ketiadaan Ghaddar pasti memerlukan jurulatih baru Malaysia, Nelson Vingada terus meneliti kelibat pemain-pemain lain dalam skuad Lebanon. Tugasan pertama Nelson Vingada ini pastinya akan dinantikan oleh seluruh penyokong dan peminat bolasepak Malaysia. Adakah ketiadaan Ghaddar akan memudahkan kita? Sama-sama kita nantikan.

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Medan diperlukan ditanda dengan *