Ujian Sulung Harimau Muda A

K Reuben

Krisis yang melanda skuad bola sepak Harimau Muda A dan Kementerian Pendidikan berhubung soal pendaftaran pemain ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2013) hanya salah faham. Jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata, beliau tidak mahu masalah tersebut berpanjangan kerana fokus utama kini adalah mengharungi aksi Kumpulan C yang menampilkan Itali, Great Britain dan Algeria.

“Mungkin ada masalah komunikasi ketika membincangkan soal pendaftaran pemain sebab ketika perbincangan dibuat, saya berada di Slovakia dan pihak kementerian di Malaysia.

“Namun ini bukan masalah dengan kementerian, saya memikirkan tentang keperluan pasukan terutama dengan lima perlawanan yang akan kita lalui sama ada kita layak ke peringkat suku akhir atau tidak.

“Bagi saya apa yang berlaku kita harus lupakan dan apa yang perlu sekarang adalah memberi tumpuan kepada semua pasukan lawan,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Kim Swee kecewa apabila tidak dapat membawa pemain tengah, Ariff Farhan dan Adam Nor bersama pasukannya kerana masalah pendaftaran.

Skuad negara dibarisi oleh 14 pemain Harimau Muda A dan tiga pemain luar iaitu K. Reuben (ATM), K. Prabakaran (Sime Darby) dan Nazirul Naim Che Hashim (FC Ryukyu). Bagaimanapun, pemain tengah, Wan Amirzafran Nadriz tidak dapat tampil dalam semua perlawanan ekoran masalah kecederaan.

Mengulas perlawanan menentang Itali hari ini, Kim Swee berkata, beliau tidak mahu anak-anak buahnya mengambil sikap sambil lewa pada aksi pembukaan itu yang akan berlangsung pada pukul 8 malam waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

“Saya percaya kita mampu memberikan prestasi yang cukup positif esok (hari ini),” katanya.

Last Updated on Julai 5, 2013 by

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *