Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara Dilancarkan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara yang menjadi pelan nasional dengan harapan usaha itu mendapat sokongan semua pihak termasuk sektor swasta. Menurut Perdana Menteri, dengan pengisytiharan itu, pelan tersebut akan didokong oleh pihak kerajaan secara keseluruhan tanpa lagi terhad kepada Kementerian Belia dan Sukan. bersama Kementerian Pendidikan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara

Kata Najib, lain-lain pihak khususnya sektor korporat turut diharapkan memberi sokongan dalam pelbagai bentuk terutama penajaan selain mengharapkan komitmen ibu bapa dalam memberi galakan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak.

Najib turut mengumumkan peruntukan RM10 juta bagi menjayakan pelan berkenaan serta mengangkat martabat dan mutu sukan bola sepak di negara ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Menurut Najib, semangat dan tenaga empat kerat sahaja tidak mencukupi untuk menjayakan pelan ini kerana ia memerlukan perancangan menyeluruh yang mencakupi segala keperluan untuk memastikan negara berjaya dalam sukan ini.

Katanya, selain kerajaan, ibu bapa dan guru juga perlu memainkan peranan mereka untuk menggalakkan anak-anak serta pelajar menceburi sukan ini.

“Komitmen seperti inilah yang kita perlukan jika hendak melihat prestasi bola sepak negara dapat pergi lebih jauh.

“Di sekolah jika guru tidak berminat untuk mengajar kemahiran dan hanya membiar pelajar bermain begitu sahaja pelan ini tidak akan menjadi kerana ia memerlukan penekanan dari segi kemahiran,” katanya.

Najib berkata sebagai seorang daripada 28 juta rakyat di negara ini yang meminati bola sepak, beliau sedar ramai yang ingin melihat pemain dan pasukan bola sepak negara ini mampu beraksi di pentas bola sepak dunia.

“Saya akui permainan bola sepak, memang merupakan pemainan yang paling popular di negara ini, kalau dijadikan ukuran barangkali ia merupakan sukan pertama yang diminati diikuti badminton.

“Walaupun kita ada juara dunia seperti Datuk Lee Chong Wei dan (ratu skuasy negara) Datuk Nicol David, tetapi kita rasa ia belum lengkap selagi tidak melihat mutu bola sepak negara berada jauh lebih tinggi,” katanya.

Menurutnya, suatu ketika dahulu negara pernah mengecapi kegemilangan dalam sukan bola sepak dengan menewaskan pasukan Jepun, Vietnam dan Korea Selatan, namun keadaan itu telah berlalu dan kini Malaysia hanya menduduki tangga ke-141 di dunia di belakang Vietnam serta Filipina, dan ia satu perkara yang menyedihkan.

mokhtar

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga dengan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mencetuskan idea penubuhan akademi bola sepak yang dinamakan sempena nama pemain bola sepak terkenal tanah air, Allahyarham Mokhtar Dahari.

Last Updated on Oktober 16, 2016 by menj

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *