Safiq Kembali Pimpin Skuad Harimau Malaya

By
Updated: June 12, 2017

Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim kembali diberi tugas memimpin skuad kebangsaan dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, pada Selasa. Ketua jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada berkata pemilihan pemain berusia 30 tahun itu adalah sesuai kerana Safiq merupakan wakil terbaik sebagai penghubung antara beliau dan pemain lain dalam merencanakan strategi perlawanan.
“Sebelum ini dia pernah menjadi kapten dan ini bukan kali pertama… bagi saya dia boleh bermain dengan baik dan mempunyai banyak pengalaman untuk menggalas tanggungjawab itu,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Sementara itu, pemain tengah JDT itu tekad akan menampilkan prestasi terbaik pada aksi pertamanya bersama skuad Harimau Malaya, sejak pengumumannya untuk bersara daripada skuad berkenaan pada Julai tahun lepas. Sambil menyifatkan tanggungjawab tersebut bukan sesuatu yang mudah, Safiq berkata beliau dan rakan sepasukan akan berusaha mempamerkan aksi terbaik bagi memperoleh keputusan yang diingini.

“Perlawanan itu sudah semestinya sukar. Kita mungkin berwajah baharu dan berdepan cabaran baharu, tetapi sasaran kami adalah untuk melakukan yang terbaik. Setiap perlawanan ada tekanan. Saya dan rakan-rakan pernah berdepan situasi begitu…tapi kita ambil yang positif sahaja…kita bermain di tempat sendiri yang beri kita lebih motivasi,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Lubnan Miodrag Radulovic berkata ketiadaan pemain tengah Mohammed Ghaddar tidak menjejaskan rentak permainan pasukannya.

“Itu keputusan Ghaddar sendiri untuk tidak mahu beraksi…namun saya tidak berapa kisah. Kami mempunyai beberapa pemain lain yang boleh menggantikan beliau,” katanya sambil berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum selepas menewaskan Hong Kong 2-0 pada 28 Mac lepas untuk mendahului Kumpulan B.

Beliau mengakui menentang Malaysia yang beraksi di gelanggang sendiri, bukan sesuatu yang mudah, namun anak buahnya sudah bersedia berdepan cabaran tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *