TMJ Bakal Menjadi Presiden FAM Yang Baru?

By
Updated: April 5, 2014

tmj

Debaran menjelang Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke-50 semakin dirasai dengan salah seorang calon yang dikaitkan akan bertan­ding menduduki kerusi Pre­siden, Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim difahamkan mendapat sokongan kuat daripada ahli-ahli gabungan.

Berdasarkan sumber rapat de­ngan FAM, sebanyak tujuh persatuan bola sepak negeri berada di belakang Presiden Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ) itu untuk menduduki kerusi presiden setelah tempoh pencalonan berakhir pada 24 Mac lalu.

Walaupun begitu, sama ada TMJ bertanding atau tidak dijangka bergantung kepada keputusan Pre­siden FAM buat masa ini iaitu Sultan Ahmad Shah yang masih belum menyatakan sebarang pendirian sama ada akan mempertahankan jawatan yang disandangnya semenjak 30 tahun lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, sebanyak tujuh negeri menyatakan sokongan penuh kepada TMJ menjadi Presiden FAM sekiranya mengambil pendirian bertanding.

“Ini hanya berdasarkan maklumat terkini yang diterima dan mungkin akan ada lagi persatuan bola sepak lain yang beri sokongan dengan badan-badan gabungan lain seperti PDRM dan Tentera masih belum diketahui ke mana arah sokongan mereka.

“Apa pun yang pasti, semuanya bergantung kepada Sultan Ahmad Shah, jika baginda mengambil keputusan untuk terus memegang jawatan presiden untuk penggal akan datang, TMJ mungkin tidak akan bertanding,” kata sumber berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan tiga individu telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM bagi penggal 2014-2018. Walaupun tidak mendedahkan individu yang dicalonkan, namun desas-desus mereka ialah Sultan Ahmad Shah, anakanda baginda Tengku Abdullah yang kini Timbalan Presiden dan Tunku Ismail.

Sumber itu berkata, ekoran pendirian yang ditunjukkan oleh persatuan-persatuan bola sepak negeri berkenaan, terdapat segelintir pemimpin dalam badan induk bola sepak negara itu yang seperti mengambil langkah berjaga-jaga dengan tidak menyatakan kecen­de­rungan kepada mana-mana pihak sama ada Tengku Abdullah atau TMJ ekoran jumlah sokongan yang begitu seimbang.

“Buat masa ini beberapa pemim­pin kanan FAM enggan menunjukkan pendirian mereka yang sebenar kerana merasakan ada angin per­ubah­an yang melanda di FAM.

“Semua orang mengambil jalan selamat dan hanya 25 Mei ini sahaja akan menjadi kata putus siapa yang akan menduduki jawatan Presiden FAM, sama ada Sultan Ahmad Shah akan kekal atau ada orang baru,” katanya.

Jika ketujuh-tujuh persatuan bola sepak negeri itu mengekalkan sokongan mereka hingga 25 Mei ini, Tunku Ismail mungkin sudah mempunyai 14 undi di dalam tangan dengan 25 undi lagi masih menjadi rahsia.

FAM mempunyai 19 badan gabungan dengan setiap persatuan diperuntukkan dua undi sementara Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia mendapat satu undi dalam Kongres FAM bagi memilih Presiden, dua Timbalan Presiden, empat Naib Presiden, lapan Ahli Jawatankuasa Eksekutif dan dua Eksekutif Wanita.

Pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden FAM juga tidak kurang hangatnya apabila dua naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah dijangka akan bersaing merebut jawatan itu bersama-sama Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Datuk Mokhtar Ahmad.

Bagi kerusi naib presiden, beberapa pemimpin yang menonjol di peringkat negeri seperti Pre­siden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman; Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Datuk Rosmadi Ismail serta Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia, Datuk Takiyuddin Hassan turut menjadi perhatian.