Wajarkah Pemilik Asing Beli Kelab-Kelab Bolasepak Malaysia?

Markus Lim

Cadangan yang dikemukakan ini mungkin dilihat janggal dan tidak praktikal. Malah boleh dikatakan ianya suatu idea yang utopia. Ia mungkin dilihat sebagai sesuatu yang bercita-cita besar, di luar kemampuan sesebuah pihak, lebih penting lagi ianya tidak mungkin akan diterima oleh pihak yang berkenaan. Dalam kolum penulis minggu lalu, timbul cadangan agar kelab-kelab bola sepak di negara kita dibenarkan dibeli oleh pemilik-pemilik asing seperti mana yang berlaku di kebanyakan liga bola sepak di serata dunia.

Idea tersebut tercetus ekoran nasib malang yang menimpa kebanyakan kelab bolasepak di Malaysia. Tahap profesionalisme dari segi pengurusan pasukan, pengurus kewangan malah kewujudan kes pemain tidak mendapat gaji selama beberapa bulan nyata memberi kesan buruk kepada sukan itu sendiri. Barangkali mungkin sudah sampai masanya jika industri sukan bola sepak negara menghala ke satu arah yang lebih radikal dan mencuba sesuatu yang baharu.

Kuala Lumpur, satu-satunya pasukan bola sepak yang begitu gah suatu ketika dahulu kini diambang ketidaktentuan. Nasibnya ibarat hidup segan mati tak mahu. Mungkin dibubarkan ataupun mungkin terpaksa bergelut dengan masalah sedia ada untuk satu tempoh masa yang lama.

Biarpun umum menyedari bahawa senario pemilik asing untuk membeli kelab-kelab bolasepak negara tidak mungkin akan berlaku dalam jangka terdekat, tetapi itu tidak bermakna idea itu wajar diketepikan begitu sahaja. Jika tidak menerima sekalipun, sekurang-kurangnya dengar dahulu dan buat keputusan kemudian.

Suatu ketika dahulu ketika era Liga Bola Sepak Inggeris masih stabil dan tidak begitu terkenal, tiada siapa menyangka satu hari nanti pemilik-pemilik asing masuk berpusu-pusu ke England untuk memiliki kelab idaman mereka.

Dan lihat sahaja apa yang berlaku kepada kelab Manchester United, Manchester City, Nottingham Forest, Chelsea dan Liverpool sekarang — kesemuanya kini dimiliki oleh orang asing. Segala dakwaan yang mengatakan bahawa pemilikan asing akan memberi kesan negatif nyata meleset. Manchester United dan Chelsea sebagai contohnya masih merupakan dua buah pasukan yang begitu kompetitif biarpun dibeli orang luar. Malah boleh dikatakan pencapaian dalam liga bola sepak mereka amat dibanggakan.

Apabila bercakap mengenai pemilikan kuasa asing atau pihak luar, mahu tidak mahu akan berbangkit soal nasionalisme dan persoalan mengapakah perlunya kelab tempatan dimiliki oleh kuasa asing?

Logiknya cukup mudah sahaja di sini. Seandainya jika sesebuah kelab bola sepak itu tidak berupaya untuk menguruskannya dengan baik dan di satu pihak terdapat minat untuk membeli dan menyuntik dana ke dalam kelab itu, tidakkah anda menerimanya?

Pemilik kelab-kelab bola sepak yang bermasalah perlu keluar dari kepompong pemikiran lama dan tidak pentingkan diri sendiri dalam hal berkenaan. Mereka perlu faham bahawa pemilikan sesebuah kelab bola sepak adalah sesuatu yang positif kerana bukan sahaja akan disuntik dengan dana yang banyak bahkan kepakaran untuk menguruskan kelabnya.

Justeru, isu patriotisme tidak timbul di sini. Sebaliknya dalam aspek pengurusan sesebuah kelab bola sepak, ia lebih menjurus kepada faktor perniagaan semata-mata. Pendek kata, ia adalah “purely a business decision.” Siapa yang tidak mahu untung menerusi pelaburan yang disertainya?

Bagi memastikan kelab-kelab bola sepak tempatan mendapat perhatian asing, maka mereka haruslah bersedia menerima perubahan dan memperbaiki kelemahan sedia ada. Baiki sistem pengurusan kewangan dengan memberikan perhatian sepenuhnya kepada kebajikan pemain.

Insiden yang mana pemain tidak mendapat gaji berbulan-bulan lamanya tidak sepatutnya berlaku. Ia bukan sahaja memalukan bahkan mempersendakan profesionalisme sukan itu sendiri.

Selain itu, kelab-kelab bola sepak tempatan perlu mempunyai sebuah kerangka pembangunan yang jelas. Dengan adanya kerangka pembangunan yang teliti, ia secara tidak langsung memberi harapan kepada pemilik-pemilik asing yang berminat untuk menimbangkan opsyen mereka. Kelab-kelab bola sepak kita harus menyediakan satu persekitaran kondusif yang memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua pihak.

Pemilik-pemilik asing tidak mungkin akan membeli kelab bola sepak kita jika pengasasannya hanya bersifat jangka pendek dan tidak mempunyai matlamat jangka panjang.

Apa yang dinyatakan penulis itu mungkin tidak masuk akal dalam senario semasa. Tetapi adalah penting untuk pihak yang bertanggungjawab membangunkan bola sepak negara untuk tidak menolak bulat-bulat idea ini. Pepatah Melayu ada menyebut: Tak Kenal Maka Tak Cinta.

Sanggupkah kita sebagai peminat bola sepak tempatan melihat kelab bola sepak pujaannya di ambang kejatuhan? Mungkinkah satu hari nanti kita melihat jutawan dunia ulung seperti Roman Abramovich, Malcolm Glazier, Lakshmi Mittal dan Sheikh Makhtoum membeli kelab bola sepak tempatan negara?

Segalanya adalah berkemungkinan!

Sumber

Last Updated on Oktober 16, 2016 by menj


Posted

in

by

Tags:

Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *