Akhirnya Piya Melaporkan Diri

By
Updated: Julai 15, 2013

Badhri Radzi Piya

Ketua pasukan Red Warriors Badhri Radzi akhinya melaporkan diri semalam bagi mengikut kem latihan Harimau Malaya tetapi bakal dihantar pulang. Sebelum ini media melaporkan bahawa Piya akan menghadapi tindakan tegas kerana gagal melaporkan diri di Wisma FAM pada Khamis lalu tetapi pemain midfield yang berusia 31 tahun itu akhirnya tiba semalam bersama dengan laporan perubatan doktor.

Piya telah mendapatkan laporan itu dari doktor di Kota Bharu, Kelantan sehari selepas perlawanan terakhir musim Liga Super dengan LionsXII.

“Saya akui wujud sedikit salah faham dalam isu ini. Kegagalan melaporkan diri ke kem latihan, bukan bermakna saya ingkar kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal) dan pasukan.” kata Piya kepada media.

“Saya berharap FAM dapat menerima surat tunjuk sebab serta laporan perubatan dan membuat keputusan seadilnya berhubung isu ini, “Saya bersedia dengan tugas tersebut dan berjanji memberikan aksi terbaik bersama Harimau Malaya. Jika ada peluang memimpin jentera tengah negara, saya bertekad memberikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih. Bagaimanapun, semua itu terpulang kepada jurulatih. Saya selaku pemain yang memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan peluang,” tambah Piya lagi.

Ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal pula menyatakan bahawa pihak pengurusan akan membuat keputusan selepas melihat tahap kecederaannya. Apabila ditanya jika tindakan tegas akan diambil, Rajagobal berkata kepada media, “Tidak… Dia (Badhri) sudah pun lapor diri dan kita akan lihat jawapan kepada surat tunjuk sebab yang dikemukakannya itu. Fisioterapi dan doktor FAM akan lihat tahap kecederaannya. Seperti Azammuddin Akil yang lapor diri, kemudian kita dapati kemungkinan lima minggu baru dia pulih dan kita hantar dia pulang.

“Sama juga untuk Badhri, kita akan tengok jika dia tak boleh pulih dalam masa tertentu, mungkin dia juga akan dihantar pulang. Kita akan tengok dulu dan kemudian buat keputusan terbaik,”

Piya adalah antara tujuh pemain Red Warriors yang dipanggil untuk menjalani latihan dengan skuad kebangsaan termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Nik Shahrul, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari, Norfarhan Muhammad dan Ahmad Fakri Saarani.

Harimau Malaya akan ke Jepun untuk 10 hari untuk tiga perlawanan persahabatan dengan kelab Liga Jepun sebelum kembali untuk bertemu Barcelona pada 10 Ogos.