Harimau Muda Tewas Kepada Great Britain

By
Updated: Julai 9, 2013

Pasukan Harimau Muda A telah tewas kepada Great Britain 0-2 pada perlawanan kedua peringkat kumpulan di Stadium Olymp, Kazan. Sebelum ini, mereka mencatat kemenangan mengejut ke atas Itali 2-0 pada saingan peringkat kumpulan C pada hari Jumaat yang lepas.

Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Ong Kim Swee ketinggalan satu gol apabila James Philip Aldred membolosi gawang Malaysia pada minit ke-18 selepas menyudahkan hantaran rakan sepasukannya, Sammy Andrew Macvicar.

Babak kedua perlawanan menyaksikan pasukan negara terus diasak dengan gol kedua menerusi Alex James Dyer pada minit ke-48. Dua minit kemudian, Harimau Muda tambah tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Wan Zaharulnizam menerima kad merah akibat mengasari pemain lawan.

Sementara itu, pengurus pasukan Malaysia Profesor Datuk Abdullah Mohamad said berkata permohonan Harimau Muda A untuk membawa pemain Sarawak Junior Eldstal dan pemain Johor Darul Takzim Muhd Nazri Ahmad telah ditolak panel jawatankuasa penganjur.

“Kita membuat pemohonan kepada jawatankuasa teknikal, mereka minta kita kemukakan dua nama, jadi kita senaraikan Muhd Nazri dan Junior. Tetapi hari ini, pukul 4 petang waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia) jawatankuasa teknikal membuat keputusan bahawa permohonan berkenaan tidak diluluskan tanpa memberi sebarang alasan,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga tidak memanggil wakil pasukan ke mesyuarat itu.

“Kini kami terpaksa mengharungi perlawanan dengan baki pemain yang ada,” katanya.