Kelemahan Jentera Serangan Punca Tewas

By
Updated: Julai 17, 2013

Universiade 2013

Kelemahan jentera serangan skuad Harimau Muda A menyebabkan pasukan negara itu gagal memanfaatkan peluang menjaringkan gol ketika tewas 1-3 di tangan Kanada bagi penentuan tempat ketujuh acara bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade) Ke-27, semalam.

Pengendali Harimau Muda A, Ong Kim Swee berkata beliau runsing dengan tindakan jentera serangan yang gagal memanfaatkan banyak peluang keemasan menjaringkan gol.

“Tindakan penyudahan kita masih lagi tumpul, saya percaya jika ada penyudah yang baik kita mampu mengikat atau menang ke atas Kanada. Tapi apa yang mustahak kita perlu mencipta dan memanfaatkan setiap peluang terhidang selepas ini,” katanya kepada pemberita.

Skuad bola sepak universiti negara menutup tirai dengan menduduki tempat kelapan daripada 15 pasukan yang mengambil bahagian sekali gus memperbaiki kedudukan edisi Universiade 2011 di Shenzen.

Ketika itu, Malaysia menduduki tempat ke-12 daripada 16 pasukan.

Mengulas kekalahan semalam, Kim Swee berkata anak buahnya itu mempamerkan aksi terbaik tetapi agak terkilan dengan tindakan pengadil perlawanan Vladimir Kazmenko dari Russia yang memberikan sepakan penalti kepada Kanada.

“Sebenarnya kalau kita lihat permainan hari ini (semalam), corak permainan kedua-dua pasukan agak seimbang tapi keputusan pengadil yang boleh dipertikaikan itu menyebabkan saya marah. Bagi saya, penalti itu tidak sepatutnya diberikan kepada mereka (Kanada) kerana (K) Reuben membuat halangan bersih,” katanya.