Muka Baru Mula Pamer Belang

By
Updated: Julai 18, 2013

MalaysiavsChonburi

Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan persembahan skuad kendaliannya terutama pemain-pemain baru ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan kelab Thailand, Chonburi FC pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil kelmarin. Antara pemain yang dimaksudkan Rajagobal itu ialah penyerang Negeri Sembilan, Nazrin Nawi, Junior Eldstal (Sarawak), Mohd. Nizad Ayub (Selangor PKNS) dan Azizi Mat Rose (Kelantan).

Jelas Rajagobal, kehadiran beberapa muka baru dalam skuad Harimau Muda memberikan ilham buat beliau untuk merangka skuad terbaik menjelang aksi persahabatan menentang Chelsea di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

“Bukan senang buat pemain baharu beraksi dalam penampilan pertama. Sejujurnya, saya sangat berpuas hati dengan persembahan mereka.

“Mereka cukup teruja untuk mempamerkan aksi terbaik selepas mendapat peluang (beraksi bersama skuad Harimau Malaya).

”Lihat aksi Junior. Biarpun tampil sebagai pemain gantian dan beraksi selama 13 minit, berbekal fizikal serta kesungguhan, dia mahu mencuba menunjukkan sesuatu kepada kita semua.

“Begitu juga dengan aksi Nizad. Saya fikir kita kena bagi peluang dan ruang kepada mereka ini,” kata Rajagobal kepada pemberita pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan kelmarin.

Mengulas lanjut, Rajagobal berkata, beliau tidak mengutamakan keputusan perlawanan, sebaliknya lebih berminat untuk membina satu persembahan meyakinkan buat skuad negara.

Katanya, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan barisan Harimau Malaya yang dilihat berjaya dominasi sepenuhnya aksi babak kedua.

“Selepas tiga hari berlatih, saya gembira dan berpuas hati walaupun kami bermula dengan perlahan.

“Ia satu perlawanan persahabatan yang cukup bagus dan kami tampak lebih agresif pada separuh masa kedua.

“Saya tidak mahu mengambil risiko dengan meletakkan pemain utama tetapi keputusan (seri) ini sudah cukup bagus bagi saya.

“Saya lihat ke arah positif dan mahu pemain-pemain saya menikmati perlawanan tersebut,” katanya.