Sukan SEA 2017: Skuad B22 Menang Ke Atas Singapura

By
Updated: Ogos 17, 2017

Malaysia menjadikan Singapura mangsa kedua acara bola sepak Kumpulan A Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) apabila membenam pasukan jiran itu 2-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas menundukkan Brunei dengan jaringan sama, Isnin lalu.

Bagaimanapun, ujian berbeza terpaksa dihadapi skuad negara pada perlawanan malam tadi apabila terpaksa bertungkus lumus untuk bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum meraih tiga mata berharga.

Pintu gol Malaysia yang dikawal Haziq Nadzli bolos pada minit ke-37 menerusi rembatan cantik Amiruldin Muhammad Nodin yang terkena tiang sebelum menerjah ke gawang.

Jaringan itu jelas menaikkan semangat pemain Singapura dan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-41, namun sepakan percuma Hami Syahin Said sekadar singgah di tiang gol.

Malaysia juga mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama tetapi sepakan percuma Safawi Rasid dinafikan palang gol ketika Zhafran sudah tertewas.

Tindakan Kim Swee membawa masuk Nor Azam Abdul Azih pada babak kedua nyata berbaloi apabila pemain Pahang itu meledak gol penyamaan Malaysia pada minit ke-68 selepas rembatan derasnya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Zhafran.

Jaringan itu dilihat menjadi titik kebangkitan Malaysia dan skuad muda negara akhirnya berada di depan juga menerusi jaringan pemain gantian, N Thanabalan pada minit ke-74.

Singapura juga cuba bangkit memburu gol penyamaan pada penghujung babak pertama namun benteng Malaysia kebal bertahan hingga wisel penamat.

Malaysia akan menentang Myanmar Isnin depan, juga di Stadium Shah Alam sebelum menamatkan persaingan peringkat kumpulan menghadapi Laos pada Rabu.

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Medan diperlukan ditanda dengan *